Anak libas ibu dengan pisau pemotong daging hanya diminta tutup lampu
SEORANG ibu nyaris maut apabila dilibas dengan pisau pemotong daging oleh anak lelakinya yang berang selepas ditegur supaya menutup lampu bilik.
Dalam kejadian pada pagi semalam di sebuah flat di Mak Mandin, ibu berusia 67 tahun itu mengalami luka sepanjang 10 sentimeter pada kepala dan 8 sentimeter pada lengan akibat perbuatan anaknya yang berusia 42 tahun.
Anaknya itu dipercayai seorang penagih dadah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, lelaki itu bertindak sedemikian selepas mangsa menyuruh suspek menutup lampu apabila menyedari lampu bilik anaknya itu terbuka ketika dia sedang mengemas rumah.
Katanya, ketika si ibu sedang mengemas rumah, suspek tiba-tiba masuk ke dapur dan mengambil sebilah pisau pemotong daging dan melibas-libas ke arah mangsa sehingga terkena lengan selain turut menetak kepalanya.
“Suspek yang tinggal berdua dengan ibunya itu kemudiannya bertindak menghalau ibunya keluar dari rumah tersebut.
“Mangsa telah pergi berlindung di rumah jirannya sebelum ambulans tiba dan dia dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan,” katanya kepada seperti yang dipetik dari Utusan Online.
Suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk lima berkaitan dadah itu telah ditahan polis di rumah tersebut.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dab kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.