Anak gadis tak manis bersila atas kerusi, jaga adab semanis Sira Labu!
ALAH bisa tegal biasa… begitulah kehidupan kita semua yang terpaksa redha dan pasrah dengan pengumuman kerajaan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh negara kecuali beberapa buah negeri yang hijau dari wabak Covid-19.
Mak Teh yakin tak ada siapa pun suka kena kurung, dipaksa memerap dalam rumah dan jika semasa PKP dulu ada yang rajin mencuba pelbagai resipi kali ini semangat itu seakan kendur walaupun tidak luntur.
Telefon bimbit sudah menjadi teman rapat paling intim dan hanya berpisah sementara apabila tiba waktu solat. Waktu nak makan pun tetap ada yang letak telefon kat sebelah, masa tidur pun macam tu juga. Seolah-olah telefon bimbit dah jadi nyawa kedua pada semua orang.
Bagi yang suka bercucuk tanam aktiviti mengeluarkan peluh tetap diteruskan dan yang suka memasak, masa tu pelbagai menu baru akan terus dicuba sehingga jadi. Yang tak jadi jangan cakaplah tapi semangat untuk mencuba tu jangan kasi hilang sebab yang untungnya kita juga.
Seperti rakan-rakan yang lain Mak Teh pun sering mengimbau kembali saat manis sebelum serangan wabak Covid-19, kita bebas untuk ke mana sahaja dengan penuh rasa gembira. Betapa berharganya apabila dapat melancong ke dalam dan luar negara, bertemu sahabat handai dan dapat pulang ke kampung bertemu keluarga serta sanak saudara.
Betapa mahalnya kenangan itu. Tapi sebagai orang Islam yang berpegang kepada qada’ dan qadar semua yang berlaku ini adalah rahsia Allah dan pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Biar pun macam-macam teori yang keluar di sebalik kejadian ini Mak Teh tetap melihat ia dari sudut positif dan negatif.
Mak Teh yang selalu melepak kat pasar raya mega dengan suami dan anak-anak pun rindu nak keluar ambil angin luar dengan mereka. Maklum sahajalah sekarang ini cuma tiga orang sahaja dibenarkan keluar naik satu kereta dan makan di kedai pun tiga orang sahaja. Bagi keluarga besar peluang keemasan ini tetap belum boleh untuk direbut.
Kali ni Mak Teh nak kongsi sikit pasal sikap anak-anak muda terutamanya kalangan gadis yang suka makan sambil bersembang sakan kat restoran, tak salah pun tapi yang nak dikongsikan di sini ialah tingkah laku mereka yang tak berapa nak manis. Ini cerita sebelum PKP lah, bukan semalam.
Dah banyak kali Mak Teh jumpa golongan ini melepak kat meja makan sambil bersila. Bagi Mak Teh kurang manislah tapi bagi orang lain mungkin tak ada masalah dan ia dianggap perkara biasa.
Muka manis bertudung tapi duduk bersila macam atas lantai. Sudah tu bersembang macam tak ingat dunia, bercakap sambil makanan penuh dalam mulut, ketawa terbahak-bahak seolah-olah mereka sahaja pelanggan dalam restoran tu.
Eh, dah le sakit mata tengok anak gadis duduk bersila sambil terkangkang? Kot ya pun coverlah celah kelengkang tu. Bertambah sakit hati bila nak makan terpaksa dengar suara mereka ketawa mengilai-ngilai. Bila dipandang ewah-ewah makin menjadi-jadi pulak perangai dia orang.
Bila ada pelanggan yang minta pelayan restoran tegurkan perbuatan tak manis mereka, boleh pula naik-naikkan suara sambil menyindir. Mak Teh pernah tengok sepasangan suami isteri berketurunan Cina yang sudah lanjut usia amat terganggu dengan sekumpulan anak gadis yang memekak di meja sebelah mereka. ‘Uncle’ dan auntie’ itu beberapa kali menggeleng-gelengkan kepala.
Paling Mak Teh terbakar bila budak-budak tu boleh ‘sound’ balik, ‘kami makan bayarlah bukan free, tak suka baliklah makan kat rumah.’ Wow!, kalau anak aku dah lama makan penampar Jepun berdas-das. Tersentak Mak Teh dengar jawapan salah seorang daripada kumpulan tu. Dah le kau sambung sampai empat meja lepas tu kau anggap satu kedai tu kau dah tapau.
Dalam hal ini Mak Teh tak tahu dimanakah hilang rasa segan-silu anak-anak gadis tersebut. Andaian Mak Teh mereka belasan tahun atau awal 20-an bila tengok pada muka dan gaya berpakaian. Ya muka cantik dan manis bila bertudung. Tak salah nak bersembang tapi turunkan sikit volume tu, duduklah elok-elok, nak ketawa tak salah tapi tak perlu paksa satu restoran dengar suara awak tu nak oi.
Begitulah perubahan sikap anak-anak remaja sekarang. Mungkin kat rumah elok kelakunya tapi bila di luar dengan kawan-kawan terkeluarlah tanduk masing-masing. Kalau depan mak ayah mau masing-masing cakap tak keluar suara atau memang begitulah perangainya sampai mak ayah naik letih nak menegur.
Oklah minggu ni Mak Teh nak kongsikan resipi Sira Labu untuk kawan-kawan. Bahannya sangat ringkas dan mudah dimasak. Maklumlah bab renyah-renyah ni jarang benau kerajinan tu nak muncul.
Bahan-bahannya
Setengah biji labu
3 helai daun pandan
Secawan air
Gula
Secubit garam
Bunga cengkih
Air kapur
Cara-caranya
Kupas labu rendam seketika dalam air kapur, cuci bersih dan toskan. Tujuan direndam air kapur supaya labu lebih pejal. Susun labu dalam periuk, masukkan air, gula, secubit garam, daun pandan dan bunga cengkih. Terbalik-terbalikkan labu supaya masak sekata. Mak Teh letak sedikit bunga cengkih kerana rasanya lebih sedap dan wangi. Sedia untuk dihidangkan. – SM