Nasional

Anak anggota bomba yang lemas terima surat tawaran belajar

Oleh Zainuddin Akim

ANAK sulung Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Allahyarham, Mohd. Diya Che Jusoh yang lemas dalam kejadian banjir di Sungai Putat, pada 21 Oktober lalu menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka, kemasukan tahun hadapan.

Lebih manis apabila surat tawaran tersebut disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada balu allahyarham, Noraida Che Noh dalam satu majlis ringkas di Dataran BaitulTariq, Klebang Permai di Melaka hari ini.

Noraida berkata, dia melahirkan rasa syukur kerana kesudian Perdana Menteri datang untuk menyampaikan surat tawaran untuk anaknya, Muhammad Daniel Hakimel, 18, melanjutkan pelajaran dalam bidang automotif.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri begitu prihatin terhadap kami sekeluarga. Tidak terfikir anak sulung saya akhirnya dapat melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Bukit Beruang kerana itulah impian arwah suami saya.

“Saya ingin mengucapkan rasa syukur atas segala pertolongan pelbagai pihak sejak kematian tragis suami saya di Sungai Putat.

“Saya tak mampu nak luahkan rasa hati yang tersirat apabila Perdana Menteri datang bukan sahaja beri surat tawaran tetapi beri kata-kata semangat,” ujarnya.

Noraida yang turut ditemani anak-anaknya selain Muhammad Daniel Hakimel ialah Nurul Ain Balqis, 16; Muhammad Danish Hakim, 12 dan Nurul Annisa Ilya, 9.

Dalam kejadian 21 Oktober lalu, Mohd. Diya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah telah tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras sewaktu banjir kilat melanda di Kampung Sungai Putat.

Allahyarham disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka kira-kira pukul 3.11 pagi.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa tiba di Baitul Tariq bertemu empat calon BN iaitu Mohamad Ali Mohamad (Sungai Udang), Datuk Rais Yassin (Paya Rumput), Datuk Lim Ban Hong (Klebang) dan Tuminah Kadi@ Mohd. Hashim (Pantai Kundur).

Dalam pada itu, Muhammad Daniel Hakimil melahirkan gembira apabila impiannya untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Bukit Beruang menjadi kenyataan.

Katanya, apa yang lebih penting, impian itu adalah hasrat yang disuarakan oleh arwah ayahnya yang banyak memberi galakan dan dorongan untuk dia melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang menolong saya hingga mendapat peluang belajar dalam bidang automotif iaitu bidang yang paling saya minati sekali,” ujarnya.

Katanya, memegang amanah sebagai anak sulung untuk menjaga ibu serta adik-adiknya.

 

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button