Nasional

Ambil iktibar kes Covid meningkat selepas Aidilfitri – TPM

MASYARAKAT diminta supaya mengambil iktibar peningkatan kes Covid-19 selepas perayaan Aidilfitri yang lalu dengan tidak cuba untuk merentas negeri dan daerah untuk menyambut perayaan Aidiladha bersama keluarga di kampung,

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak bersabar sehingga imuniti kelompok dalam kalangan penduduk dicapai bagi membolehkan mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Saya nasihat ambil ikhtiar kes yang berlaku pada Aidilfitri, mungkin kita boleh gunakan kecekapan kita menipu pihak polis untuk balik ke kampung, guna jalan kampung, jalan kebun kelapa sawit tetapi Covid-19 mungkin menanti di kampung dan kita bawa wabak itu dan menjangkiti keluarga hingga menyebabkan kematian.

“Sebab itu saya kata sabar dahulu, kalau boleh sehingga imuniti berkelompok akan dicapai pada Oktober atau November dan kita boleh balik kampung, pada masa itu tidak ada isu lagi. Kita sudah tunggu selama setahun lebih, dalam masa empat, lima bulan nanti, kita boleh bebas,” katanya.

Ismail Sabri turut mengulas berkaitan larangan penggunaan surat kebenaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk merentas negeri dan daerah sehingga Rabu depan.

Ismail Sabri berkata, larangan yang dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ada pihak yang menyalahgunakan surat tersebut pada Aidilfitri yang lalu untuk pulang ke kampung.

“Mereka sanggup bawa lori kerja balik kampung, akhirnya berlaku kebanjiran balik kampung beratus-ratus ribu waktu itu (pulang ke kampung) dengan pelbagai alasan termasuk (guna) surat kebenaran merentas negeri untuk bekerja.

“Akhirnya selepas raya, kita lihat kes mendadak meningkat kerana kluster rentas negeri begitu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan melihat proses pemberian vaksin secara pandu lalu yang dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pejabat Daerah dan Tanah Jempol di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button