Amaran cuaca di beberapa negeri oleh Met Malaysia
JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran pada pagi ini memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka akan melanda di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula hari ini sehingga Isnin depan.
Kawasan yang terlibat dalam cuaca buruk itu di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan serta seluruh Kawasan di Terengganu
Sementara itu, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Kelantan melibatkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang; Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Berikutan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Peringkat (JPB) Negeri/Daerah diaktifkan serta tahap kesiapsiagaan ditingkatkan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.
JPB Peringkat Negeri/Daerah juga diminta memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.