Politik

Amanah, DAP kekal hubungan dengan blok Bebas jatuhkan PN

AMANAH dan DAP akan terus berusaha untuk mengekalkan hubungan antara dua blok pembangkang iaitu kem Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Warisan yang dipimpin oleh Datuk Seri Shafie Apdal.

Jelas  Pengarah Komunikasi Amanah Nasional Khalid Abdul Samad kebersamaan itu dengan matlamat untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu menegaskan peranan mereka terhadap masyarakat akan terus dilaksanakan walapun ada pihak yang mahu melagakan pembangkang.

“Amanah dan DAP terus berusaha untuk mengekalkan hubungan antara 2 blok pembangkang. Kekalkan kebersamaan dan angka 107+ untuk jatuhkan Kerajaan PN.

“Tanggungjawab terhadap rakyat akan terus dipikul walaupun ada yang berusaha keras untuk melaga dan melemahkan pembangkang,” ciap Khalid di Twitternta.

Semalam foto beberapa pemimpin kanan DAP dan Amanah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin pembangkang dari kem Dr Mahathir Mohamad dan Warisan di Kuala Lumpur .di seberkan di media sosial.

Gambar itu bertebaran sehari selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau dan lima anggota Parlimen yang bersekutu dengannya akan duduk di blok bebas bersama Warisan di parlimen.

Bekas perdana menteri itu tidak turut serta dalam pertemuan tersebut tetapi anaknya, Datuk Seri Mukhriz kelihatan  hadir.

Turut menyertai pertemuan berkenaan ialah Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik dan Setiausaha Agung Bersatu yang dipertikaikan Marzuki Yahya.

Turut hadir Mohd Shafie, ketua pemuda Warisan, Azis Jamman; serta beberapa pemimpin tertinggi DAP termasuk Lim Guan Eng (setiausaha agung), Tan Kok Wai (pengerusi) dan Anthony Loke (setiausaha organisasi).

Tidak ketinggalan pemimpin kanan Amanah, Mohamad Sabu (presiden), Mahfuz Omar (naib presiden) dan Khalid Samad (pengarah komunikasi).

Mahathir yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi dalam kenyataan bersama lima ahli Parlimen bekas Bersatu, dua hari lalu mengumumkan sebagai kumpulan blok Bebas dan tidak lagi bersama gabungan Pakatan Harapan.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu turut menyatakan ahli Parlimen dari Warisan yang dipimpin oleh Shafie turut bersama-sama dalam blok tersebut.

Menurut Tun Dr. Mahathir, mereka masih berpegang kepada cadangan yang dibuat hasil dari perbincangan antara beliau dengan pemimpin Warisan, Amanah dan DAP pada 25 Jun untuk menamakan Shafie sebagai calon Perdana Menteri.

“Bagi pihak kami, mencalonkan Datuk Seri Shafie sebagai Perdana Menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil.

“Ia bukan sahaja kerana kita percaya dia akan berkeupayaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tetapi juga satu langkah ke hadapan demi mempertingkat hubungan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

“Kami juga membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen. Kami tidak bergabung dengan mana-mana gabungan,” kata Dr. Mahathir dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut turut ditandatangani oleh Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Sr. Shahruddin Md. Salleh.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button