NasionalNegeri

Alumni bekas penuntut di Perlis diminta promosi IPT di negeri ini – Raja Muda

Barisan alumni yang pernah menuntut ilmu di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Perlis diseru untuk bersama membantu mempromosikan IPT-IPT di negeri ini sebagai destinasi pilihan kepada calon-calon yang sedang membuat pilihan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Kredibiliti alumni di IPT-IPT negeri Perlis yang telah berjaya mengharungi suka-duka kehidupan sebagai mahasiswa di negeri ini boleh dijadikan inspirasi kepada pelajar lain.

Ia sekali gus dapat membentuk pelajar yang sentiasa bersemangat dan seterusnya dapat membantu membangunkan kapasiti IPT masing-masing dengan menarik lebih ramai penuntut ke negeri ini.

‘Pengalaman yang diperolehi sepanjang belajar di Perlis juga dapat dijadikan panduan kepada bakal pelajar ke sini dan menjadi bukti paling sahih kepada mereka untuk memilih negeri ini terutamanya dalam memilih bidang yang bertepatan bagi menceburi bidang kerjaya pada masa akan datang.

Hal ini dapat memperkasa lagi peratusan kemasukan pelajar sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, berdasarkan bantuan promosi daripada alumni itu sendiri.’

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena program kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Pauh baru-baru ini.

Antara rumah asnaf yang disantuni dan diserahkan sumbangan MAIPs oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra adalah Hussin Bakar, 79, Halimah Teh, 88 dan Don Kasa, 96.

Sebagai rekod, antara IPT yang terdapat di Perlis ketika ini ialah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), UiTM Cawangan Perlis, Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan terbaharu Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) yang akan mula beroperasi tidak lama lagi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button