Alif Satar syukur isteri dan anak-anak bebas Covid-19
PENYANYI, Alif Satar yang kini sedang dikuarantin dan dirawat di hospital selepas dijangkiti Covid-19 bersyukur kerana perkara sama tidak menimpa isteri dan anak-anaknya.
Menurut penyanyi lagu Damba Cinta Mu ini, isterinya, Sha Dila Halid dan tiga orang anaknya sah negatif Covid-19.
“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kalian semua, Alhamdulillah, isteri dan anak-anak Alif bebas Covid-19.
“Tetapi mereka akan terus menjalani proses kuarantin di rumah selama dua minggu,” katanya yang kini menjalani proses rawatan dan kuarantin di Melaka.
Sementara itu, Alif turut berterima kasih kepada semua yang memberinya mesej dan kata-kata positif melalui akaun Instagram dan Whatsapp.
Jelasnya, dia menerima ribuan mesej selepas pengumumannya dijangkiti Covid-19 dibuat di akaun Instagram miliknya.
“Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas doa semua. Saya juga berdoa supaya Allah makbulkan doa untuk anda dan keluarga juga, InsyaAllah,” katanya.’
Sebelum ini, Alif juga sempat meninggalkan komen meminta maaf kerana kesulitan yang diberikannya di setiap akaun Instagram artis yang menjalani ujian saringan Covid-19 selepas mendapat tahu dirinya dijangkiti Covid-19.
Alif pada petang Ahad lalu memberitahu yang dia telah dijangkiti Covid-19 dan perkara itu berlaku selepas dua hari dia membuat persembahan di pentas separuh akhir Muzik-Muzik menerusi lagu I Want You To Love Me.
Dia yang terkejut dengan keputusan itu juga menzahirkan rasa risau terhadap keselamatan isteri, anak-anak serta rakan-rakan di set penggambaran.
Susulan itu, beberapa artis yang berjumpa dengan Alif mula menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari. -SM