fbpx
Politik

Akmal ‘cakap benar’ gaji pengerusi GLC RM50,000 sebulan – Shahrir

DAKWAAN Ahli Parlimen PKR Akmal Nasir bahawa gaji pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan purata gaji RM50,000 adalah benar.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu Tan Sri Sharir Abdul Samad gaji sebanyak itu hanya berlaku pada era pemerintahan Pakatan Harapan.

“Di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Johor Bahru itu menyatakan setiap pengerusi agensi kerajaan dan GLC dibayar gaji RM50,000 sebulan sehingga mengakibatkan perbelanjaan dana awam berjuta-juta ringgit.

“Saya percaya YB Akmal bercakap apa yang dia tahu. Apa yang dia tahu ialah apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan.

“Jadi, bila YB Akmal berkata seorang pengerusi agensi kerajaan dan GLC dibayar RM50,000 sebulan, ianya sebenarnya berlaku masa pemerintahan PH. YB Akmal bercakap benar,” kata Shahrir.


Shahrir mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa gajinya sebagai pengerusi Prasarana cuma RM8,000 saja.

Tajuddin Abdul Rahman

“Tak ada hal. Kita sangat telus. Lapan ribu saja,” katanya ketika menjawab soalan Akmal Nasir di Dewan Rakyat. Tajuddin turut memberitahu  gaji Pengerusi Uda Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) juga sebanyak RM8,000 sebulan.

Akmal yang merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru sebelum ini mendakwa terdapat kira-kira 50 lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan purata gaji RM50,000, tidak termasuk elaun.

Justeru, dakwa Akmal, kerajaan terpaksa membayar kos sebanyak RM25 juta setahun untuk bayaran itu.

“Hanya, YB Akmal tidak tahu bahawa PH sebenarnya lebih berbelanja besar atau lumayan berbanding BN.

“Sebab itu, penjelasan YB Datuk Tajudin bahawa elaun bulanannya sebagai Pengerusi Prasarana adalah RM8,000 dan bukan RM50,000 pasti memeranjatkan YB Akmal.

“Rupanya, pemimpin UMNO yang selalu dicemuh sebagai “tamak” dan “gilakan jawatan” sebenarnya mengambil elaun yang lebih rendah dari mereka yang pegang jawatan sama oleh PH,” kata Shahrir.

calon
AKMAL NASIR

Jelas Shahrir ketika dia menjawat jawatan Pengerusi Felda, beliau dibayar RM23,000 sebulan atas keputusan Lembaga Felda.

Namun begitu dia hanya mengambil RM8,000 sahaja sebagai elaun dan baki RM15,000 diberikan kepada Yayasan Felda.

“Seorang tokoh korporat yang dilantik oleh PH sebagai pengerusi Felda telah dibayar RM25,000 sebulan untuk bekerja dua hari di Felda dan dua hari lagi di sebuah lagi agensi kerajaan.

“Maknanya, angka RM50,000 itu memang jumlah elaun bulanan seorang pengerusi agensi kerajaan atau GLC semasa PH. Ianya tidak menghairankan. Kerana pegawai-pegawai tertinggi Felda lantikan PH juga dibayar antara RM50,000 dan RM60,000. Mereka dari dunia korporat. Dan zaman PH,” kata Shahrir.

Menurut Shahrir, orang UMNO tetap meletakkan konsep ‘public service’ atau perkhidmatan awam sebagai prinsip utama dalam kerjaya politik mereka.

“YB Akmal hanya silap sangka kita macam dia juga,” sindir Shahrir.-SM

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button