Akhirnya ada yang bersuara tentang pusat rekreasi dan gimnasium
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga penjelajah Grand Slam dan Atlet Sukan Lasak Negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin meminta agar kerajaan dapat membenarkan pusat sukan, taman rekreasi dan gimnasium dibuka semula kerana rakyat perlu bersukan demi kesihatan.
“Saya menyarankan agar tempat-tempat ini dapat dibuka demi kesihatan rakyat. Yang penting ikutlah SOP contohnya seperti kalau taman rekreasi, bukalah laluan trekking 1 laluan sahaja iaitu satu laluan masuk dan satu laluan keluar seperti di Taman Tugu. Di taman tasik pula, pastikan bersenam maksima berdua dan juga 1 laluan sahaja. Di gimnasium juga pastikan maksimum hanya 20 ke 30 orang sahaja mengikut keluasan gimnasium terbabit dan bersenam maksimum 2 orang sahaja.
“Saya faham, pandemik Covid masih ditahap membimbangkan, tetapi sekiranya rakyat tidak bersukan, ianya juga membahayakan kesihatan.
Saya menyokong juga agar aktiviti sukan yang bukan berkumpulan, dibenarkan beroperasi semula,” katanya.
Ramai pengusaha gimnasium, kata beliau, juga amat terkesan dengan pendapatan mereka dan ada sebahagian mereka terpaksa menutup gimnasium mereka kerana tidak mampu membayar sewansan hutang bank.
“Saya mohon izin mewakili rakyat, pengusaha gimnasium, penggiat sukan rekreasi dan mereka yang suka bersenam agar kerajaan dapatlah pertimbangkan perkara ini segera.
“Saya melihat bila pasar malam boleh dibuka, kedai gunting rambut dan lain-lain, kenapa pula tidak kepada aktiviti bersukan yang bukan berkumpulan.
“Semoga kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan ini segera,” katanya.