SEMENJAK arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, ramai yang terkesan terutamanya melibatkan mereka yang berada dalam industri seni tempatan.
Mereka yang terlibat dengan industri seni sangat terkesan apabila pendapatan semakin berkurangan termasuklah melibatkan golongan selebriti yang mula menginjak ke dunia perniagaan untuk meneruskan kehidupan.
Terbaharu, pawagam terkenal, GSC Cinemas memuat naik ciapan yang meminta supaya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa membuka pawagam sekaligus merancakkan semula industri seni tempatan.
Ternyata, perkara itu mendapat perhatian Annuar yang kemudian membalas ciapan dan memberitahu ada sesuatu yang bakal diumumkan oleh kerajaan melibatkan industri seni dan pawagam tidak lama lagi.
“Ya, saya sedar keadaan pawagam-pawagam di Malaysia dan saya sudah membawa isu ini ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama isu-isu lain berkenaan industri kreatif.
“InsyaAllah kerajaan akan mengumumkan sesuatu tidak lama lagi,” katanya.
Beberapa pawagam besar yang lain seperti TGV Cinemas, MM Cineplexes dan LFS Cinemas turut menyatakan rasa tidak sabar untuk mengetahui pengumuman tersebut.
Malah, Annuar pada semalam juga ada menyatakan bahawa kelonggaran untuk industri kreatif akan dibentang ke MKN untuk dipertimbangkan segera.
“Para pendukung industri kreatif sudah begitu lama terkesan dengan PKP.
“Tiba masanya kita bentang ke MKN untuk segera pertimbangkan kelonggaran dgn SOP tertentu,khasnya bagi mereka yg sudah di beri dua suntikan vaksinasi.Semoga ada berita baik buat mereka tidak lama lagi,” katanya.
Malah, Annuar turut memberitahu yang akan ada berita gembira melibatkan semua penggiat seni dan industri kreatif dan sebarang perincian akan dimaklumkan selepas pengumuman dibuat. -SM