AirAsia tawar diskaun 20% sempena pelancaran lalauan baharu di China
AirAsia mengumumkan penambahan tiga laluan baharu dari Kuala Lumpur ke wilayah selatan China, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat penerbangan asing terbesar yang menyediakan perkhidmatan di negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia.
Perkhidmatan baharu ke Quanzhou dan Guilin yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (AK) dan ke Chengdu (Tianfu) yang dikendalikan oleh AirAsia X Malaysia (D7) kini termasuk dalam rangkaian luas sebanyak 15 laluan dengan lebih 129 penerbangan mingguan antara China dan Malaysia.
Penerbangan ke/dari Quanzhou akan bermula semula dua kali seminggu dan mula beroperasi pada 18 Jun 2023. Penerbangan ke/dari Guilin akan bermula semula tiga kali seminggu pada 18 Julai 2023 dan penerbangan ke/dari Chengdu (Tianfu) akan bermula dua sekali seminggu pada 1 Julai 2023 dan meningkat kepada tiga kali seminggu mulai 4 Julai 2023.
Baru-baru ini, AirAsia Malaysia (AK) turut menyambung semula perkhidmatan harian dari Kota Kinabalu ke Wuhan, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat penerbangan Malaysia dengan sambungan dan kapasiti terbesar di China.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata: “Berikutan pembukaan sempadan negara China baru-baru ini kepada dunia dan permintaan yang kukuh, kami berbesar hati untuk meneruskan pengembangan pesat kami ke China.
“Kami juga berbangga untuk menghubungkan berjuta-juta tetamu bukan sahaja ke destinasi utama tetapi juga ke bandar-bandar kedua yang kurang mendapat perkhidmatan dan melancarkan laluan unik seperti Quanzhou dan Guilin.
“China kekal sebagai pasaran utama untuk pertumbuhan masa depan kami dan kami akan terus mengkaji beberapa laluan berpotensi lain di China yang kami akan diumumkan tidak lama lagi.”
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benjamin Ismail berkata: “China sentiasa menjadi salah satu destinasi teras kami untuk perjalanan udara jarak sederhana. Laluan terbaru kami ke Chengdu (Tianfu) akan menjadi asas kepada lebih banyak penerbangan AirAsia X ke China dalam masa terdekat, yang akan meningkatkan rangkaian Asia Utara kami dengan ketara. Dalam pada sempadan China dibuka dengan pantas, kami akan melancarkan lebih banyak penerbangan ke/dari negara itu serta meningkatkan kekerapan pada laluan paling popular dan menguntungkan dalam rangkaian kami bagi jangka masa pendek hingga sederhana.”
Sempena meraikan pelancaran laluan-laluan baharu ini, AirAsia menawarkan diskaun 20% untuk semua tempat duduk pada semua penerbangan* merentasi 130 destinasinya termasuk semua penerbangan ke/dari China. Tawaran hebat ini juga tersedia untuk penerbangan ke/dari Malaysia, China, Australia, Indochina, India, Korea Selatan, Jepun dan banyak lagi. Promosi ini tersedia untuk tempahan bermula hari ini sehingga 21 Mei 2023 untuk tempoh perjalanan antara 1 Jun dan 14 Disember 2023.
AirAsia Malaysia (AK) akan terbang ke 11 laluan ke/dari China dengan 118 penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur ke Guilin, Quanzhou, Guangzhou, Kunming, Shenzhen, Nanning, dan Shantou; Kota Kinabalu ke Guangzhou, Shenzhen, dan Wuhan; dan Johor Bahru ke Guangzhou.
AirAsia X Malaysia (D7) akan terbang ke empat laluan ke/dari China dengan 11 penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur ke Chengdu (Tianfu), Beijing (Daxing), Shanghai dan Hangzhou. –SM