Ekonomi

AirAsia bersedia untuk kembali terbang

MALAYSIA kini menyertai negara jiran ASEAN yang lain dengan melancarkan kempen vaksinasi Covid-19 di seluruh negara bermula hari ini yang turut membuka ruang untuk industri penerbangan menyambung semua perkhidmatan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata,  dengan  vaksin telah dilancarkan di seluruh dunia, ditambah pula dengan pendidikan dan ujian yang lebih baik, pasport kesihatan digital yang diiktiraf di seluruh dunia, ubat-ubatan, gelembung perjalanan dan prosedur perjalanan tanpa sentuhan yang tersedia menyokong permulaan perjalanan udara antarabangsa dalam masa terdekat.

“AirAsia kini bersedia dan tidak sabar untuk kembali terbang sekali lagi dengan pelbagai inovasi baharu dan prosedur tanpa sentuhan digital untuk memastikan standard kebersihan dan keselamatan tertinggi untuk para tetamu kami.

“Di Malaysia, Perdana Menteri kita merupakan rakyat pertama yang mendapatkan vaksinasi pada hari ini dan saya tidak sabar untuk menunggu giliran saya. Oleh itu, saya menyarankan semua rakyat Malaysia untuk mendapatkan vaksinasi supaya kita semua dapat melakukan perjalanan udara kembali!

“Sekarang adalah masa untuk kita bersatu padu dan menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia berganding bahu dan menyokong kerajaan untuk memberikan vaksin kepada semua. Saya menasihatkan semua orang untuk mendapatkan maklumat mengenai vaksin daripada saluran yang tepat dan mempercayai para saintis dan pakar. Vaksin adalah jawapan kita untuk benar-benar memacu kembali industri pelancongan global dan ekonomi tempatan di seluruh dunia, yang amat diperlukan ketika ini.

“Industri penerbangan telah terjejas dengan teruk berikutan pandemik ini tetapi kami akan terus berusaha dan sabar menunggu sekatan perjalanan antarabangsa untuk dibuka. Sama seperti kami, semua orang ingin kembali terbang, tetapi kita perlulah bertanggungjawab dengan mengambil vaksin dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Saya berbesar hati kerana Kementerian melalui MIMOS, telah mengembangkan Sistem Pengendalian Vaksin berasaskan blockchain untuk memastikan penghantaran dan pengedaran vaksin yang efisien dan selamat di negara ini. Ini juga harus diambil kira bagi menentukan populasi sasaran dan lokasi geografi yang tepat untuk memastikan bahawa kita dapat mencapai hasil yang paling berkesan dalam jangka masa yang singkat.

“AirAsia berharap dapat memainkan peranan aktif dalam kempen vaksinasi ini. Cabang logistik kami Teleport sentiasa bersedia untuk membantu, termasuklah mengambil vaksin dari China dan Rusia apabila tersedia, dan membuat penghantaran secara domestik di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India dan negara-negara lain.

“Sementara itu, juruterbang dan kru kabin kami yang belum kembali terbang sepenuhnya, juga boleh membantu sebagai petugas barisan hadapan untuk program vaksinasi ini. Mereka telah dilatih untuk memberikan pertolongan kecemasan dan dapat menangani kecemasan berkaitan perubatan. Mereka pasti dapat membantu para petugas barisan depan dan ini adalah salah satu usaha tidak konvensional kami.

“Apa yang yang paling penting adalah pelaksanaan program vaksinasi ini memberikan garis masa yang paling jelas dan nyata mengenai kawalan sepenuhnya terhadap pandemik ini dan kehidupan kita akan kembali seperti biasa dengan norma baharu. Dengan sumbangan 15% kepada KDNK tahunan dan 24% daripada jumlah pekerjaan di negara ini, sektor pelancongan adalah salah satu pemacu ekonomi yang paling penting dan para pemain industri ini harus diberi keutamaan sebagai penerima vaksin,” katanya dalam kenyataan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button