Nasional

FAM lawat bekas pemain, Kasmah Darus hidap barah

BEKAS pemain bola sepak wanita kebangsaan pada era 1970-an, Kasmah Darus disahkan menghidap kanser tulang tahap empat sejak awal Januari lalu. Kasmah, 63, yang merupakan bekas pemain sayap kanan kebangsaan juga disahkan menghidap barah payudara pada 2019.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diwakili oleh exconya, Datuk Suraya Yaacob telah meluangkan masa menziarahi Kasmah di kediamannya dekat Damansara, Selangor, semalam.

Selain bertanya khabar mengenai tahap kesihatan Kasmah, Suraya turut menyampaikan salam daripada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan bekas-bekas pemain kebangsaan.

Sebagai tanda penghargaan atas jasa Kasmah sepanjang menyarung jersi skuad wanita kebangsaan dari 1975 hingga 1978, Suraya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM telah menghulurkan sumbangan kepada wanita itu.

“Saya berterima kasih kepada Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia (PPBSWM), Normala Rashid dan rakan-rakannya dari PPBSWM yang sentiasa membantu Kasmah termasuk menggembirakan hati beliau. Sama-sama kita mendoakan kesihatannya.

“Kasmah merupakan salah seorang pemain kebangsaan yang menyarung jersi Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak Wanita Asia pertama yang telah dianjurkan di Hong Kong pada Ogos 1975.

“Insya-Allah FAM akan sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan bekas-bekas pemain kebangsaan ini kerana mereka adalah individu yang telah berjasa kepada negara,” kata Suraya.

Sepanjang kariernya sebagai pemain bolaseopak, Kasmah yang merupakan pesara POS Malaysia juga mewakili pasukan Perak dan Selangor dalam pertandingan bola sepak wanita kebangsaan, Piala Tun Sharifah Rodziah. – SM

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button