Ekonomi

AirAsia bekerjasama dengan AC2 Group bagi meningkatkan keupayaan rantaian bekalan

KUMPULAN AirAsia bekerjasama dengan AC2 Group untuk menerapkan penyelesaian pengurusan gudang (WMS) Blue Yonder bagi meningkatkan keupayaan rantaian bekalan dan operasinya secara digital berikutan penambahan kapasiti domestik, sejajar permintaan yang tinggi.

Ketua Rantaian Bekalan Kumpulan AirAsia Siva Indran berkata WMS Blue Yonder menggunakan data dan analitik canggih untuk meningkatkan kecekapan syarikat penerbangan tambang rendah itu serta menawarkan faedah seperti produk yang tepat pada penerbangan tertentu berdasarkan pilihan tetamu.

“Selain itu, kecekapan yang diterapkan dapat ditawarkan kembali dalam penerbangan atau melalui pesanan penghantaran ke rumah.

“Kami akan terus berinovasi agar dapat bersiap sedia menjelang jangkaan pemulihan perjalanan udara di peringkat global dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata langkah mengoptimumkan rangkaian rantaian bekalan digital adalah tepat pada masanya berikutan kumpulan itu memberi fokus untuk meneruskan operasi ke tahap pra-COVID-19 di semua pasaran utama secepat mungkin.

Rakan Pengurusan AC2 Group Aw Yang Uei berkata sebahagian besar usaha dilakukan untuk merancang penyelesaian ini bagi memastikan ia kukuh, berskala dan dapat diintegrasikan dengan teknologi masa depan.

“AirAsia mempunyai visi yang amat kreatif dalam membangunkan strategi pelbagai saluran mereka, yang memerlukan kecekapan rantaian bekalan,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button