Politik

Ahmad Zahid dakwa mula jadi sasaran serangan

PRESIDEN UMNO Datuk Seri  Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa UMNO dan dirinya kini mula diserang dengan dakyah selepas Kerajaan Perikatan Nasional tumbang semalam.

Menurutnya, UMNO dan dirinya kini menjadi sasaran penyokong dan pendokong pihak yang telah kehilangan kuasa.

“Namun realitinya kita semua tahu penyokong dan pendokong pihak yang telah kehilangan kuasa masih tidak puas hati maka sedang memperhebatkan dakyah ke atas UMNO terutama Presidennya.

“Gara-gara tersangat geram dan marah jawatan serta kedudukan pemimpin mereka hilang selepas 18 bulan di puncak kuasa.

“Walaupun ini lumrah, namun agak sedih kerana mereka tidak pula memikirkan tentang geram dan marah rakyat terhadap kegagalan yang menyebabkan hampir 13,000 nyawa telah terkorban,” kata Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam hantaran tersebut Ahmad Zahid turut berkongsi satu karikatur dirinya berpakaian pahlawan Melayu dengan memakai tanjak yang mempunyai logo parti UMNO dan memegang keris dan perisai.

Dalam karikatur tersebut beliau kelihatan mempertahankan diri daripada bilah senjata seperti parang dan anak panah yang tertulis fitnah.

Karikatur tersebut turut memaparkan perkataan ‘serangan bermula’ dan ‘UMNO’ terus dipertahankan.

“Nasihat saya kepada yang bermati-matian menghasut, menghina, mencerca, memfitnah saya, kepimpinan parti dan UMNO, saya memaafkan semuanya, dengan iringan doa semoga Allah mengampunkan segala dosa dan kelhilafan kita, rahmat dan reda Allah jualah yang kita harapkan. Amin,” kata Ahmad Zahid.

Dalam hantarannya itu Ahmad Zahid mendakwa penyokong dan pendokong pihak yang telah kehilangan kuasa memainkan propaganda sayu, pilu dan sebagai “play victim” untuk mengelirukan rakyat.

Katanya pihak berkenaan, memperdaya fikiran rakyat konon patut berasa sedih kerana pemimpin mereka terpaksa meletak jawatan.

“Caranya dengan ‘mewayangkan’ pemimpin mereka telah hampir berjaya menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik.

“Konon tidak dapat meneruskannya selepas kehilangan kuasa dan kini negara dalam bahaya,” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid merupakan antara 15 ahli Parlimen UMNO yang bertindak menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai perdana menteri.

Tindakan kumpulan tersebut menyebabkan Muhyiddin kehilangan majoriti sekaligus membawa peletakan beliau sebagai perdana menteri semalam.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button