Ahmad Adly terjemah kesan Covid-19 dalam lagu
Melihatkan keadaan semasa kebanyakan orang yang terkesan akibat pandemik Covid19 sebenarnya memberikan kesan kepada penyanyi yang satu ini.
Kesukaran yang mereka lalui sedikit sebanyak memberikan pelajaran kepadanya untuk bersama-sama semua menghadapi apa sahaja dugaan dan rintangan yang mendatang.
Bagi Ahmad Adly, 21 tahun, apa yang dilihat dan dirasainya itu diterjemah kedalam lirik lagu Nota Hasratku yang menjadi pertaruhannya ketika ini.
Lagu yang sudah pun dilancarkan secara rasmi pada 6 Ogos di semua platform digital dan Youtube Indigital Music membawa emosinya bersama dengan mereka yang berhadapan dengan apa juga kesukaran dalam kehidupan.
“Seperti mana yang kita semua tahu pelbagai dugaan yang dihadapi sampai ada yang terganggu emosi sampai sanggup membunuh diri.
“Semuanya kerana tekanan dihadapi sehingga ada yang tidak mampu melaluinya lagi.
“Tapi di sebalik ujian dan dugaan percayalah ada sinar juga menanti. Anda tidak keseorangan dalam menghadapinya memandangkan masih ramai yang mahu membantu.
“Jadi, jangan sesekali bersendirian dan carilah jalan untuk keluar daripada masalah tersebut,” katanya.
Bagi Ahmad Adly, dia yang mencipta lagu ini bersama komposer Nuriman menterjemah dengan baik apa yang mereka lihat, dengar dan rasai dengan situasi hari ini.
Tambahnya, pemilihan kata-kata untuk lirik Nota Hasratku juga begitu jelas menggambarkan turun naik emosi manusia yang sering berhadapan dengan pelbagai perkara baik dan buruk saban hari.
“Ada bait lirik yang menyebutkan “I might fall, masih ku berdiri, when I fall akan ku sendiri?. Kita sebagai manusia perlu ada sistem sokongan yang baik dari sekeliling untuk meneruskan hidup ke depan.
“Sebab itu saya berharap lagu ini akan memberikan semangat kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya,” katanya yang turut menganggap lagu ini sebagai kisah perjalanan yang telah dilaluinya untuk bergelar seorang anak seni.
Bercerita mengenai perjalanan kerjaya seninya pula, Ahmad Adly sebenarnya merupakan finalis untuk program Lagu Cinta Kita musim kedua yang disiarkan di TV3 awal tahun ini.
Dia yang berpasangan dengan Darling Shah menduduki tempat kelima ketika itu.
Menganggap apa yang dilalui sebagai sebuah pengalaman yang sangat berharga, anak ketiga daripada enam orang adik-beradik ini bersyukur kerana LCK memberikan dimensi baharu kepadanya untuk terus bersemangat menjadi seorang anak seni.
“Tidak dinafikan LCK memperkenalkan nama saya kepada kebanyakan peminat.
Ada yang sudah lama kenal, tak kurang juga yang baru menyedari kehadiran saya. Apa-apa pun terima kasih atas sokongan semua sehingga ke hari ini,” tambahannya yang berharap Nota Hasratku akan diterima baik oleh peminat.
Untuk rekod, lagu ini merupakan kerjasama antara Indigita Music dan Alternate.
Lagu ini juga menjadi runut bunyi kepada drama Lelaki Pendosa yang bakal ditayangkan di TV3. -SM