Nasional

Ahli Parlimen perlu jalani saringan setiap 2 minggu

SEMUA ahli Parlimen dan mereka yang bertugas untuk persidangan Dewan Rakyat dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 setiap dua minggu sekali.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, langkah itu diambil sebagai langkah pencegahan untuk memastikan persidangan Dewan Rakyat berlangsung dengan selamat.

Azhar berkata, keputusan itu diambil atas nasihat dan pandangan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang dihubunginya semalam.

Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian terhadap prosedur operasi standard (SOP) sekiranya ada kes positif Covid-19 dikesan di kompleks Parlimen.

“Perlu diingatkan bahawa apa-apa jangkitan di Parlimen mungkin akan menyebabkan Bangunan Parlimen ditutup sekiranya didapati perlu berbuat demikian,” kata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azalina Othman Said ketika membacakan pemasyhuran Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Selain itu ahli Parlimen tidak dibenarkan mengadakan majlis jamuan atau bermesyuarat di dalam kelompok yang besar semasa di luar Dewan Rakyat ini termasuk di dalam ataupun di luar premis premis bangunan Parlimen.

Ahli Parlimen turut dinasihatkan supaya menghadkan pergerakan masing-masing semasa di luar premis Parlimen sepanjang tempoh persidangan serta mengelakkan bergaul atau menghadiri majlis-majlis keramaian dan tempat-tempat yang sesak.

“Sekiranya ahli-ahli yang berhormat perlu bermesyuarat atau berkumpul secara fizikal, ahli-ahli yang berhormat dipohon mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang ketat,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 27 hari mulai 2 November lepas. Mesyuarat ke-3, penggal ke-3, Parlimen ke-14 itu akan berlangsung sehingga 15 Disember 2020.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button