Politik

Ahli Parlimen Cameron, Jerantut tarik balik sokongan kepada PM

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri selaras dengan ketetapan Badan Perhubungan UMNO negeri yang selari dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT), pada 7 Julai lalu.

Ia juga selari dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 akhir Mac lalu, yang memberi mandat kepada Presiden dan MT untuk menentukan tarikh tepat penarikan diri daripada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ramli berkata, keputusan tersebut perlu dipatuhi oleh setiap pemimpin serta ahli parti berkenaan.

“Saya sebagai Ahli Parlimen UMNO adalah tidak terkecuali dan akur keputusan parti,” katanya dalam kenyataan lapor Utusan Online.

Awal pagi Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT mengumumkan menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri.


Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seperti mana semua tahu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 merupakan badan tertinggi parti yang telahpun membuat keputusan sedemikian.

Wan Rosdy berkata, ia perlulah dipatuhi oleh setiap pemimpin, ahli parti dan Pahang tidak terkecuali.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pada masa ini, tugas utamanya adalah menumpu segala usaha dan inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara dan kawasan Parlimen Cameron Highlands khususnya.

Sementara itu, Ahmad Nazlan berkata, selaku Ahli Parlimen UMNO beliau juga tidak terkecuali mematuhi dan akur segala keputusan diputuskan parti tersebut.

“Saya selaku Ahli Parlimen Jerantut berpendirian dan mengambil ketetapan selaras dengan keputusan yang diambil oleh. Menteri Besar Pahang selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri,” katanya.

Jelasnya, tugas utamanya kini menumpu segala usaha dan inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19 yang melanda negara dan kawasan Parlimen Jerantut khususnya.

(Visited 1,386 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button