Agong zahir harapan rakyat Malaysia kekal perpaduan
Sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, baginda menzahirkan harapan supaya rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan budaya akan terus mengekalkan kemakmuran dan perpaduan yang telah dikecapi bersama selama ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah juga mendoakan seluruh rakyat Malaysia terbuka hati untuk bersatu memikul peranan membantu kerajaan menjayakan usaha-usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negara yang dicintai bersama.
“Seri Paduka Baginda menyanjung tinggi terhadap komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan oleh petugas keselamatan dan barisan hadapan dalam memerangi wabak ini.
“Al-Sultan Abdullah mendoakan supaya Malaysia terus dilindungi daripada semua bentuk ancaman, dirahmati dan diberkati serta dikurniakan dengan kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan,” katanya, dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA