fbpx
Nasional

PKPP: Rancang pertingkatkan perkhidmatan organisasi – Raja Muda Perlis

PELONGGARAN peraturan yang akan berkuat kuasa mulai 10 Jun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dimanfaatkan untuk merancang bagi mempertingkatkan perkhidmatan organisasi masing-masing.

Setelah hampir tiga bulan peraturan ketat untuk mengekang penyebaran Covid-19 dilaksanakan, maka sudah tiba masanya seluruh organisasi kembali mengoptimumkan perkhidmatan agar memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima taklimat dan seterusnya meninjau tapak pembinaan ‘Kompleks Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)’ baharu yang sedang dalam pembinaan di Jalan Pegawai Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri, Nasaruddin Talib dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Wan Ahmad Fazli Wan Kamis.

Taklimat mengenai pembangunan kompleks yang kini telah mencapai 8.5% kemajuan kerja itu dipersembahkan oleh Pengarah Urusan Amza Bina Sdn Bhd, Amir Jusry Saad.

Untuk rekod, Kompleks MAIPs yang dijangka siap pada 17 Julai 2021 tersebut terletak di belakang Kompleks Islam Perlis yang menempatkan pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan berhadapan dengan Kompleks Darul Qadak Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs). Lokasi strategiknya yang tidak jauh dari Masjid Alwi Kangar bakal memusatkan semua penawaran perkhidmatan hal ehwal Islam di negeri Perlis ini kelak.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berharap semua organisasi akan mengambil langkah yang perlu agar dapat menjayakan fasa pemulihan terakhir Covid-19.

“Semua organisasi sama ada kerajaan atau swasta perlu terus menerapkan amalan kelaziman baharu dan memanfaatkan cabaran yang dihadapi dengan mengoptimumkan perkhidmatan yang lebih efektif, mudah dan berkesan kepada semua pelanggan,” tegas baginda.

Tuanku Raja Muda turut menasihatkan supaya setiap organisasi di negeri ini meluangkan masa minggu pertama bermulanya tempoh PKPP ini untuk berbincang kembali mengenai perancangan rantaian perintah atau ‘chain of command’ serta Tatacara Operasi Standard ‘SOP’ organisasi masing-masing seandainya berlakunya gelombang ke dua penularan wabak Covid-19 atau apa-apa wabak dan bencana lain di masa hadapan agar semua pihak lebih bersedia dengan tindakan pantas supaya semua perkhidmatan masing-masing dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan berkesan.

Tambah baginda lagi, walaupun kita sentiasa mendoakan agar perkara seumpama ini tidak berlaku, namun sebagai satu kelaziman baharu, kita hendaklah menerima hakikat supaya sentiasa bersedia agar impak ke atas diri sendiri, keluarga dan organisasi kita akan lebih terkawal dan tahap kebergantungan terhadap bantuan pihak lain dapat diminimakan. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button