fbpx
Politik

Shafie perlu fikir masa hadapan Sabah

PEMULIHAN ekonomi pasca pandemik virus Korona bukan sesuatu yang mudah dan tidak boleh dilaksanakan secara silo dan perkara itu harus disedari oleh Datuk Seri Shafie Apdal.

Selaku ketua menteri beliau mempunyai tanggungjawab besar untuk memulihkan ekonomi negeri Sabah yang terjejas teruk dan beliau harus memikirkan sedalam-dalamnya untuk bersama-sama kerajaan dan bukannya berada di blok pembangkang dalam situasi ini.

Shafie boleh memberi seribu satu alasan untuk menyokong tindakannya terus kekal di dalam blok pembangkang, tetapi rakyat Sabah perlu pembelaan sewajarnya.

Shafie menidakkan peluang rakyat negeri di bawah bayu itu untuk mempunyai wakil di dalam kerajaan, setidak-tidak pemimpinnya berpeluang menduduki kabinet atau seumpamanya dan pastinya rahmatnya turut dinikmati oleh rakyat.

Sebagai pemimpin yang prihatin Shafie sebelum ini memberi alasan menyokong Pakatan Harapan (PH) demi kelangsungan pembangunan negeri Sabah yang masih banyak ketinggalan.


Beliau sepatutnya mempelajari bagaimana Sarawak bergerak di dalam politik, tidak berdasar emosi dan kepentingan peribadi, tetapi betul-betul kepentingan rakyat.

Selepas Barisan Nasional (BN) kalah Sarawak telah membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan walaupun tidak menyertai kerajaan PH tetapi tetap bersahabat dengan kerajaan pusat.

Kini selepas 21 bulan kerajaan PH tumbang Sarawak melalui GPS menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Shafie harus sedar penolakan rakyat terhadap kepimpinan beliau semakin kuat dan ia dapat dilihat dengan jelas dengan kekalahan besar pada pilihan raya kecil Kimanis tempoh hari.

Walaupun beliau berkempen siang dan malam, tetapi Warisan tetap tumpas kepada BN kerana dasar yang lemah serta tidak menjamin keamanan dan keselamatan rakyat.

Apakah jaminan Sabah mampu berdepan dengan krisis ekonomi global yang terburuk pernah kita lalui bersendirian, sedangkan pertumbuhan ekonomi negeri Sabah terus merosot sejak dipimpin Shafie walaupun dalam situasi biasa.

Lumpuhnya industri pelancongan berpotensi meninggalkan kelompongan maksimum kepada pertumbuhan KDNK negeri Sabah pada tahun 2020. Tambahan pula, berdasarkan laporan pada tahun 2019, negeri Sabah merekodkan penurunan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.5% iaitu daripada 8.0% pada tahun 2017 kepada 1.5% pada tahun 2018.

Jika Shafie enggan berubah beliau akan mengalami nasib yang sama seperti mana beberapa buah negeri diperintah PH iaitu Johor, Perak, Melaka, dan Kedah.

Enam belas ADUN dari kerajaan Warisan dan PH akan beralih memberikan sokongan kepada bekas ketua menteri, Datuk Seri Musa Aman di samping kerjasama Bung Moktar (UMNO), Hajiji Noor (PPBM), Jeffrey Kitingan (STAR) bersama parti politik pimpinan masing-masing dan beberapa parti politik lain.

Politik di Sabah sentiasa dinamik situasi yang sama berlaku ketika BN tumbang pada pilihan raya yang lalu apabila sokongan beralih kepada Shafie dan membolehkan beliau mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Rakyat telah diberi ruang dan peluang dan mereka juga telah menilai kemampuan Shafie menguruskan negeri dan sfera politik Sabah tetap akan berubah kerana isu-isu melibatkan Pas Sementara Sabah (PSS), kelemahan tadbir urus ekonomi, kelemahan pengurusan krisis pandemik COVID-19 dan kegagalan pelaksanaan Pakej Bantuan COVID-19 Sabah, apatah lagi menguruskan pakej rangsangan ekonomi pasca pandemik virus itu.

Agak menyedihkan menyaksikan pemimpin yang bagus seperti Shafie kini terpaksa berpaut pada dahan rapuh bagi mengekalkan jawatan sebagai ketua menteri dan pada masa yang sama berdepan dengan dilema kemungkinan dipaksa kembali ke pusat jika bergabung dengan PN.

Dalam situasi ini Shafie dan Musa harus melihat persepktif yang lebih luas dan berkompromi iaitu bukan hanya demi puncak kekuasaan, tetapi lebih kepada kepentingan rakyat. – SM

(Visited 4 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button