Nasional

Agong rasmi Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan ke Majlis Perasmian dan Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama di Jalan Panching, Kuantan.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Memetik laporan BERNAMA hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Sejurus tiba, Seri Paduka menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Noorazmin Abd Rahim.

Al-Sultan Abdullah kemudian dipersembahkan dengan gimik acara pelancaran membabitkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota khas dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Selain itu, baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai peranan serta fungsi Markas Angkatan Bersama (MK AB) bertempat di Pusat Operasi Bersama (POB) serta berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas Operasi Pasir di Sabah serta bertugas di misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kem Al-Sultan Abdullah yang dinamakan sempena nama baginda telah dirancang pembinaannya sejak 2007 dengan pemilihan di Jalan Panching, di sini, susulan kedudukan kem dan pangkalan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara sedia ada di Kuantan sekali gus dapat menyokong pengoperasian MK AB.

Projek pembinaan kem seluas 39.56 hektar ini siap pada 25 April 2019 dan diserahkan kepada MK AB pada 11 Jun 2019 serta majlis pengoperasian dilaksanakan pada 1 Julai 2019.

Kem itu menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota pelbagai peringkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam ATM.

MK AB diwujudkan untuk mengendalikan tugas berdasarkan kepada konsep penugasan bersama (Jointness), yang bersifat tiga khidmat (Tri-Service) di dalam ATM, selain berperanan untuk menyelaraskan keperluan dalam operasi dan misi di bawah PBB.

(Visited 87 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button