Nasional

Agong, Permaisuri zahir dukacita kemalangan menimpa Nur Izzah

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan rasa sedih atas kemalangan yang menimpa pelajar Malaysia, Nur Izzah Mohd Shokri di Manchester, England, Isnin lepas.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua mendoakan semoga Nur Izzah, dikurniakan kesembuhan dengan segera dan kembali pulih seperti sedia kala.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

“Marilah bersama Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga Nur Izzah dikurniakan kesembuhan dan keafiatan dengan segera,” kata kenyataan itu.

Nur Izzah, 20, yang merupakan pelajar tahun pertama jurusan perakaunan dan kewangan di Universiti Manchester, kini berada dalam keadaan koma dan sedang mendapat rawatan di Salford Royal Hospital, England selepas menjalani pembedahan.

Pelajar yang berasal dari Karak, Pahang itu dilaporkan mengalami kecederaan yang serius di bahagian kepala dan tulang rusuk selepas bertembung dengan sebuah bas ketika sedang menunggang basikal di Wilmslow Road, Rusholme dalam kejadian pukul 4.25 petang. – BERNAMA

(Visited 301 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button