Acara

AEON lancarkan program penanaman pokok sempena ulang tahun ke-40

SEMPENA sambutan ulang tahun ke-40 AEON CO. (M) BHD, AEON melancarkan program penanaman pokok “Planting Seeds of Growth for Future: Creating Gardens in Schools” di seluruh negara.

Program ini dilancarkan secara rasmi pada 4 September di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Kepong. Kira-kira 100 orang murid dan 30 orang sukarelawan AEON telah menanam 300 anak pokok pada hari pelancaran.

Acara ini dirasmikan oleh Dr. Zalina Mohd Tahir, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Aktiviti penanaman pokok di SK Taman Bukit Maluri menandakan permulaan siri acara serupa yang akan berlangsung di 27 buah sekolah di seluruh negara. Setiap sekolah dikenal pasti dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia berdasarkan lokasinya yang berada berdekatan dengan 28 buah AEON Mall seluruh negara. Kira- kira 10,000 anak pokok akan ditanam di sekolah-sekolah yang terlibat.

 

Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada berkata, “Kami gembira dapat meraikan ulang tahun ke-40 dengan menyumbang semula kepada komuniti dengan cara yang bermakna. Aktiviti luar bilik darjah seperti penanaman pokok pada hari ini menawarkan pengalaman pendidikan yang memperkaya pembelajaran murid-murid. Mereka dapat belajar tentang kepentingan alam semula jadi serta peranan dan sumbangan mereka kepada sekolah dan alam sekitar.”

“AEON kekal komited untuk memacu perubahan yang positif melalui pelbagai inisiatif yang melibatkan ekosistem kami. Program ini adalah satu lagi langkah dalam perjalanan kami ke arah mewujudkan masa depan yang lebih lestari,” tambah beliau.

Sejak memulakan operasi di Malaysia pada tahun 1984, AEON telah menanam lebih daripada 550,000 batang pokok melalui pelbagai inisiatif penanaman pokok. Tahun lepas, AEON telah menyempurnakan fasa akhir “Malaysia-Japan Friendship Forest Programme” di Perak. Projek ini dilancarkan untuk menyokong usaha Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam memulih dan menghijaukan semula kawasan bekas lombong bijih timah di Bidor. Sebanyak 30,000 batang pokok telah berjaya ditanam sejak projek ini dimulakan pada tahun 2014.

Tahun ini, AEON meraikan ulang tahunnya yang ke-40. AEON kini mempunyai 28 AEON Mall, 35 AEON Store, 6 AEON MaxValu, 62 AEON Wellness dan 46 DAISO di seluruh negara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button