Nasional

ADUN Bukit Naning sambut baik pengumuman BKM

RAKYAT menyambut baik pengumuman tambahan bayaran RM50 dan RM100 kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin menyifatkan keputusan Perdana Menteri itu mengumumkan tambahan bayaran RM50 dan RM100 kepada penerima (BKM) tepat pada masanya.

Menurutnya, bantuan tambahan itu dapat menangani rintihan rakyat selepas mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang keperluan kini.

“Saya lihat Perdana Menteri membuat keputusan yang bijak dengan menyalurkan bantuan tunai tambahan tersebut kepada golongan B40 iaitu masing-masing RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang.

“Ianya dilihat dapat membantu meringankan beban kewangan golongan B40, terutamanya bagi persediaan Aidiladha yang akan datang,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di Johor Baharu.

Mohd. Fuad menambah, setiap individu yang layak bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing dengan bantuan tunai tambahan dibayar bersekali dalam bayaran Fasa 2, membabitkan peruntukan tambahan bernilai RM630 juta.

Justeru katanya, ia tentu akan memberi manfaat kepada hampir 8.6 juta penerima, merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 juta individu bujang.

“Perdana Menteri sememangnya sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Rakyat Malaysia terutamanya kumpulan sasar.

“Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun ini, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion,” ujarnya.

Jelasnya, seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500. Bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan kerajaan.

Katanya, BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40 dengan semakan status pembayaran boleh dibuat bermula Isnin ini, melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button