Adik mengaku tidak bersalah cederakan abang dengan pisau pemotong ayam
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 12 Mei – Seorang pembantu pusat boling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di
sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan sebilah pisau pemotong ayam pada pagi 1 Syawal lalu.
Tertuduh, Nabil Sarip, 30, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh
jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, Nabil didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap abang kandungnya berusia 38 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pemotong ayam.
Tertuduh melakukan perbuatan tersebut di Taman Tanjung Minyak, di sini, kira-kira jam 10 pagi, pada 2 Mei
lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A
yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon kepada mahkamah agar tidak
membenarkan jaminan dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang tinggal bersama.
Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu di sebuah pusat bowling itu diwakili peguam S.S Amritpal Singh
bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan dengan memberi alasan tertuduh perlu menanggung ibu bapa yang
uzur.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500
dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dilarang mengganggu abangnya dalam apa juga keadaan.
Mahkamah juga menetapkan 7 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.