JenayahNasionalNegeri

Cubaan seludup petrol ke Thailand dipatahkan Zon Maritim Kuala Perlis

ZON Maritim Kuala Perlis sentiasa peka dan kali ini, agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu berjaya menggagalkan percubaan menyeludup 14 tong berisi lebih kurang 350 liter petrol bernilai kira-kiraRM2,100 ke negara jiran, Thailand.

Ini berikutan penahanan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran pada jarak 1.1 batu nautika dari barat pantai Pulau Ketam, Kuala Perlis sekitar pukul 6.34 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, selain petrol yang ditemui disembunyikan dalam petak simpanan ikan, terdapat juga sebuah tong gas bernilai lebih kurang RM180 yang disembunyi di tempat ais.

PETROL dan tong gas yang disembunyikan pada bahagian tertentu dalam bot yang ditahan sekali gus gagal diseludup ke Thailand. – GAMBAR IHSAN ZON MARITIM KUALA PERLIS.

Beliau berkata, hasil maklumat risikan, intipan dan pemantauan berterusan telah berjaya membongkar aktiviti penyeludupan petrol oleh bot nelayan tempatan di sekitar perairan Perlis.

Mohd Hashim berkata, Zon Maritim Kuala Perlis telah mengesan seorang suspek sedang mengemudi bot dalam keadaan mencurigakan, sedang keluar dari muara Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand sekitar pukul 6.15 petang semalam.


“Sebaik menyedari diekori bot penguat kuasa, suspek memecut laju untuk melarikan diri dengan menuju ke arah sempadan perairan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Hashim berkata, bot ronda Maritim Malaysia berjaya memintas dan menahan suspek serta bot berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan berumur 31 tahun.

Suspek, bot serta hasil rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin sangkut,  minyak petrol dan tong gas memasak  sekitar RM17,280,” jelasnya.

Tambah beliau, modus operandi bot tersebut adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut serta menyembunyikan barang dalam petak simpanan ikan.

“Sindiket ini menyeludup keluar barang-barang kawalan seperti petrol, minyak masak, tepung dan tong gas memasak dalam kuantiti yang sedikit namun dilakukan berulang kali dalam masa sehari,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan berjadual petrol dan diesel dengan niat melakukan kesalahan untuk menjual barangan kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis dari pengawal bekalan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah. -SM

(Visited 49 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button