Nasional

Abdul Rahim, Zahidi hentikan polemik dengan ‘gadis pokok’

SAMA ada ‘gadis pokok’ Veveonah Mosibin seorang yang suka mendapatkan perhatian atau sebaliknya itu merupakan hak peribadi beliau.

Sebagai pemimpin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri tidak perlulah mempolemikkannya.

Zaman sekarang ini hampir semua orang cuba mendapatkan perhatian di media sosial termasuk menjadi youtuber. Para guru pun terpaksa menjadi youtuber ekoran perlu menyediakan video pengajaran dan pembelajaran untuk dikongsi dengan anak-anak murid.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan norma baharu akibat wabak Covid-19, semua urusan bergantung kepada internet. Untuk itu capaian internet sangat penting,

Sama ada apa yang dilakukan oleh Veveonah itu semata-mata untuk mendapatkan perhatian bagi menambah pengikut di saluran youtube itu hak peribadi. Menteri atau wakil rakyat tidak ada hak untuk mengkritik hak individu seperti itu.

Menteri dan wakil rakyat sepatutnya lebih elok kalau mengesahkan betulkah kawasan itu liputan internetnya sangat ciput atau tidak ada langsung, atau isyaratnya sangat jelas ‘full bar’.

Sehingga hari ini tidak ada siapa pun tampil memberi penjelasan mengenai liputan gelombang telekomunikasi di kampung Veveonah iaitu Kampung Sepatalang dekat Pitas. Sebaliknya mereka lebih sibuk mendedahkan siapa Veveonah.

Sedangkan liputan internet di Malaysia yang begitu berbangga dengan sistem jalur lebarnya sentiasa ada bermasalah.

Malah yang tinggal di kawasan pentadbiran kerajaan di Putrajaya pun berhadapan dengan isu internet yang tidak stabil yang dibekalkan oleh Unifi, anak syarikat Telekom Malaysia.

Ini adalah realiti yang perlu diberi perhatian oleh  kerajaan jika mahu memastikan sistem jalur lebar di negara ini bertaraf dunia.

Liputan isyarat telekomunikasi yang rendah di luar bandar itu merupakan realiti yang perlu ditelan oleh para pembekal sistem tersebut di negara ini.

Para pemimpin pula tentu lebih elok jika mereka sendiri turun padang dan periksa kenapa kawasan itu liputan isyarat telekomunikasinya sangat lemah. Dan cari jalan untuk atasi

Malah kalau Zahidi membuat rondaan di sekitar Perlis pasti akan jumpa kawasan yang tidak ada liputan telekomunikasi atau jika ada pun terlalu rendah dan terpaksa menunggu lama untuk capai internet.

Jadi, tidak perlu lah menelanjangkan apa yang dilakukan oleh Veveonah. Dia hanya orang biasa yang mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada apa yang dia bayar.

Sepatutnya para pemimpin menelanjangkan kegagalan syarikat telekomunikasi memastikan setiap inci bumi di Malaysia ada liputan telekomunikasi yang baik. Itu sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka.

Sudah masuk tahun 2020, isu-isu asas yang remeh seperti isyarat telekomunikasi masih juga tidak selesai. Nampaknya masih jauh lagi untuk kita mencapai taraf negara maju. – SM

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button