fbpx
Nasional

Raja Puan Muda Perlis rasmi Kursus FVCS

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan ‘Kursus Komunikasi Efektif Melalui Lakaran (Freehand Visual Communication Skills – FVCS)’ yang diadakan di Dewan Kuliyyah MAIPs, Behor Temak, Kangar semalam.

Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut diiringi anakanda-anakanda Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Kursus selama dua hari anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini merupakan sebahagian daripada program sampingan mengambil sempena ‘Sambutan Satu Kurun MAIPs sempena Dua Dekad Pemerintahan Raja Perlis dan Dua Dasawarsa Pemasyhuran Raja Muda Perlis’ yang diraikan pada tahun ini.


Ia melibatkan penyertaan para peserta terpilih daripada kalangan pegawai kanan agensi-agensi agama Islam Negeri Perlis yang terdiri daripada Pekhidmat MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis.

Selain itu, kursus berkenaan turut melibatkan warga pendidik terpilih daripada sekolah-sekolah menengah seluruh negeri Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan juga Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs.

Kursus menarik tersebut disampaikan oleh pengasas Drawzania.com, Dr.Ruzaimi Mat Rani yang aktif mengendalikan latihan dan bengkel berkaitan kemahiran komunikasi melalui lakaran, kreativiti dan inovasi dalam organisasi.

Untuk rekod, Dr. Ruzaimi juga telah mengarang lebih daripada 15 judul buku berkaitan komunikasi secara visual dan teknik lakaran. Penulisan beliau turut mendapat sambutan di peringkat global bahkan diterjemahkan kepada bahasa asing termasuk bahasa Jepun.

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button