AAIM penting dalam perkhidmatan kesihatan
Kerajaan Malaysia telah mengenal pasti bahawa Perubatan Dalaman Maju dan Akut atau ‘Advanced Acute Internal Medicine’ (AAIM) akan menjadi antara yang penting dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan pada masa akan datang.
AAIM dilihat sangat bersesuaian untuk hospital-hospital di negara ini. Penjagaan kesihatan Malaysia merupakan satu situasi yang unik di mana fokus utama kita adalah untuk memberikan penjagaan terbaik meskipun terdapat kekangan dari segi tenaga kerja dan juga sumber.
Pengkhususan para ‘Sarjana Hebat’ dari AAIM ini adalah sangat bersesuaian dalam usaha memajukan pusat setempat bagi perkhidmatan pakar perubatan. Ini secara langsung akan menambahbaik tahap rawatan dan penjagaan yang ditawarkan kepada pesakit secara mendadak. Seorang perunding kesihatan akan berupaya untuk menawarkan perkhidmatan dari pelbagai cabang perubatan – apa yang diperlukan adalah infrastruktur minimum dan sokongan yang ideal kepada servis kesihatan tempatan kita.
Untuk itu, “Ultrasound akan menjadi stetoskop yang baru”. Salah satu alatan yang penting bukan sahaja bagi pakar perubatan akut ini adalah mesin ultrasound. Mesin-mesin ini telah berevolusi dari saiz yang begitu besar kepada saiz poket yang mudah alih.
Selain itu, ultrasound telah dibuktikan lebih efisien berbanding pengimejan konvensional seperti mesin x-ray dada dalam mengenalpasti situasi perubatan seperti pneumothorax. Ini bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa tetapi juga memberikan diagnosis yang lebih tepat dalam tempoh masa yang singkat. Kita berharap semoga ultrasound dapat digunakan di kebanyakan institusi penjagaan kesihatan terutamanya di Perlis dan tidak hanya terhad kepada kemudahan Kerajaan semata-mata tetapi juga penjagaan kesihatan swasta.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘The 1st National Ultrasound and Enchocardiography Course In The Era of Covid-19, 2020’ secara digital hari ini.
Program yang dilaksanakan secara webinar dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra Perlis tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju & Akut Serta Ultrasound Malaysia yang juga dikenali dengan nama ‘Malaysian Advanced Acute Internal Medicine & Ultra Sound Society (MAAIMUSS)’ dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan College of Physicians.
Keberangkatan tiba baginda bagi melancarkan seminar yang berlangsung selama sehari suntuk disertai oleh 100 peserta dari seluruh negara tersebut disambut oleh Presiden MAAIMUSS, Prof Datuk Dr Paras Doshi dan Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Penaung DRaja MAAIMUSS, ‘Perubatan Dalaman Akut Tahap Lanjut (Advanced Acute Internal Medicine)’ merupakan bidang yang baru diperkenalkan di Malaysia. Bidang ini berupaya mengurangkan ketidakpastian dan meningkatkan kebarangkalian dalam mendapatkan diagnosis yang lebih tepat.
AAIM ini merangkumi spektrum kerja klinikal yang luas dalam beberapa ruang lingkup kepakaran termasuk pengurusan segera kes perubatan kecemasan yang mengancam nyawa, rawatan awal (kritikal dalam tempoh 72 jam), melibatkan penyakit-penyakit am (general medical ailment) dan penyediaan rawatan ambulatori.
Tambah Tuanku Raja Muda, “Apa yang minda tidak tahu, mata tidak akan melihat” Bagi membolehkan ini terjadi, adalah penting untuk melengkapkan pakar perubatan kita dengan segala kemahiran ultrasound teras yang diperlukan. Oleh itu, menjadi harapan baginda untuk meneraju dan mengiktiraf kemahiran ultrasound dengan menjadi Penaung kepada Malaysian Advanced Acute Internal Medicine Ultrasound Society (MAAIMUSS). Ini akan memudahkan penerimaan AAIM serta ultrasound di samping dapat menjadi garis panduan kepada latihan pakar perubatan ‘junior’ atau baharu kita di negara ini.