SERONOKNYA apabila berpeluang menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) secara beramai-ramai umpama berada di dalam sebuah keluarga yang besar.
Perkara inilah yang dirasai oleh kaum Tionghua beragama Islam yang hadir pada majlis Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina di pekarangan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Padang Kota, Kampung Nesam, Bintong, Perlis, kelmarin.
Lebih 30 saudara baharu sekitar Perlis dan juga Kedah dijemput untuk meraikan majlis ini.
Majlis sambutan perayaan Tahun Baharu Cina ini adalah anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Padang Kota, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Perlis, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Perlis dan Hidayah Centre Foundation.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Majlis sambutan ini juga dimeriahkan dengan mengaul yee sang yang merupakan makanan wajib TBC.
Selain itu juga diadakan pemberian angpau untuk asnaf mualaf dan juga kanak-kanak.
Sementara itu, Siti Balkis Wai Abdullah, 52. yang memeluk Islam sejak 30 tahun lalu berasa gembira apabila meraikan TBC kali ini bagai sebuah keluarga besar.
“Sekalipun telah lama memeluk Islam dan peluang meraikan TBC kali ini dengan saudara baharu, keluarga dan penduduk kampung memang sangat mengujakan, ” katanya yang tinggal di Kampung Nesam.
Katanya lagi, usaha pihak berkenaan yang menganjurkan sambutan TBC wajar dipuji dan dihargai oleh saudara baharu seperti beliau dan rakan-rakan lain kerana disitulah mereka dapat berkumpul dan berkenalan serta mengeratkan silaturahim.
Sementara itu, Ibrahim Lai, 61, berkata, sambutan dengan keuarga besar ini memang mengharukannya.
“Sekurang-kurangnya sambutan Tahun Baharu Cina masih boleh diraikan bersama rakan seagama,” katanya yang tinggal di Jitra, Kedah.
Beliau berkata, walaupun tinggal di Jitra, beliau sanggup hadir ke majlis tersebut kerana tidak mahu ketinggalan meraikan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini dalam sebuah keluarga yang besar.
Sabira Tai Abdullah, 50, mengakui masih meraikan sambutan Tahun Baharu Cina pada setiap tahun bersama anak-anak dan suami.
Bagaimanapun katanya, kali ini apabila diraikan dalam majlis seperti keluarga besar benar-benar menyentuh hatinya.
“Saya gembira dan bersyukur kerana dapat menyambut Tahun Baharu Cina bersama sebuah keluarga baharu yang besar. Itu amat bermakna bagi saya secara peribadi,” katanya. – SM