SEMUA remaja perempuan serta wanita muda yang bergelar Pandu Puteri hendaklah diberikan hak selain kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat untuk membawa perubahan kepada dunia di mana mereka berada.
Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Datin Seri Muhaini Zainal Abidin berkata, bukan itu sahaja malah pemikiran dan suara wanita bagi merancang masa hadapan ke arah kesejahteraan bumi wajar disokong.
Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap tahun jumlah keahlian meningkat dan itu merupakan penanda aras kewujudan PPPM dalam kalangan wanita.
Justeru beliau berkata, tidak dapat dinafikan ahli persatuan memperoleh banyak manfaat menerusi pelbagai program yang dirancang serta telah dilaksanakan dengan berjaya.
“Saya rasa gembira dan bangga persatuan itu mencapai tahap yang lebih baik. Hal ini menjadikan penanda aras kewujudan PPPM yang bersandarkan realiti.
“Hakikatnya usaha ini bukan sesuatu yang mudah tetapi melalui perancangan yang teliti lagi tersusun, ternyata jumlah keahlian PPPM berdasarkan pertambahan peningkatan ahli berlaku dari setahun ke setahun.
“Selaku Yang Dipertua, saya akan berusaha sedaya upaya menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sebaiknya selain berharap kita semua dapat berganding bahu menaikkan nama serta imej PPPM.
“Semoga kita terus teguh dan aktif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memberi manfaat kepada setiap ahli PPPM untuk mencapai iltizam selaras dengan slogan ‘Pandu Puteri Selalu Sedia, Terus Berkhidmat’ dalam mengharungi apa juga rintangan dan cabaran,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Persidangan Pandu Puteri Dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-57 PPPM, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.
Penaung Diraja PPPM, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat menghadiri majlis persidangan tersebut.
Turut berangkat, Timbalan Yang Dipertua PPPM, Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, Penaung PPPM Cawangan Melaka, Toh Puan Asmah Ab Rahman dan isteri kepada Ketua Menteri Melaka Datin Seri Munira M.Yusop.
Mengulas lanjut Muhaini berkata dengan tema Dunia Kita, Masa Depan Kita Bersama, Our World, Our Equal Future, PPPM harus wajib bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara serta memulihara dunia yang kita huni ini.
Sehubungan itu jelasnya, PPPM akan bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam program Penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman satu juta pokok di seluruh negara oleh ahli persatuan itu.
Berkaitan Bangunan Wisma Pandu Puteri, Muhaini berkata, beberapa bahagian wisma itu telah dan akan dinaiktaraf seperti penyediaan bilik tamu yang lebih baik, bilik mesyuarat baharu yang lebih luas, ruang kedai yang lebih besar dan bahagian belakang bangunan dalam proses penambahbaikan.
Semoga segala kerja penambahbaikan dapat berjalan lancar dan menjadikan Wisma Pandu Puteri lebih kondusif serta selesa dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk pelbagai aktiviti ahli PPPM,” ujarnya.
Terdahulu, persidangan kali ini disertai 500 perwakilan dari 18 cawangan selain sebanyak 14 anugerah turut dikurniakan kepada 142 penerima anugerah. – SM