TIDAK pernah serik, itulah yang sikap seorang buruh perusahaan mangga harumanis apabila setiap tiga tahun akan dihadapkan semula ke mahkamah atas kesalahan sama iaitu mengambil dadah.
Mohd Izdzuan Abd Hamid, 38 pernah disabit kesalahan sama di Mahkamah Majistret Kangar pada 28 Januari 2016 dan mahkamah sama pada 15 Januari 2019.
Terbaharu hari ini, tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan sama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Musyiri Peet.
Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, satu sebatan dan dua tahun pengawasan.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim bahawa tertuduh pada 24 April lalu pada pukul 1.30 pagi di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar (IPD) Kangar didapati menggunakan dan memberikan dadah pada diri sendiri jenis amphetamine dan methamphetamine.
Oleh itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dikenakan hukuman lebih berat di bawah Seksyen 39C (1)(b) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun dan tidak lebih tiga kali sebatan.
Mengulas mengenai kes ini, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya akan menggenakan tindakan lebih keras terhadap pesalah dadah yang ditahan pada kali ketiga.
Katanya, setakat ini pesalah dadah yang ditahan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Seksyen ini sudah lama diwujudkan tetapi jarang dikenakan kepada pesalah walaupun ada yang sudah beberapa kali ditahan atas kesalahan yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kaedah sebelum ini seakan tidak menggentarkan pesalah dan polis terpaksa menggunakan pendekatan lain bagi menangani isu membabitkan kesalahan dadah.
Tambahnya, selama ini penagih dadah tidak takut walaupun ditangkap berulang kali melakukan kesalahan yang sama kerana mereka atau waris akan membayar denda.
Jelas Yusharifuddin, jika dengan Seksyen 39C ADB 1952 ini, mereka tidak lagi boleh membayar denda malah akan dihukum penjara untuk tempoh yang agak lama dan dirotan.
Sebarang aduan dan permasalah jenayah yang berlaku di daerah ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kangar di talian 04-9082222. – SM