Caj RM2: Melaka Sentral tarik balik pelaksanaan 1 Julai ini
MELAKA Sentral Sdn. Bhd. menarik balik pelaksanaan caj RM2 yang sepatutnya diperkenalkan pada 1 Julai ini kata Pengurus Besarnya, Abu Bakar Jani.
Kadar bayaran RM2 itu adalah caj dikenakan kepada orang ramai yang menggunakan kemudahan fasiliti dan pertukaran pas masuk untuk menaiki bas ekspres di Terminal Bas Melaka Sentral dekat sini.
Menjelaskan perkara tersebut Abu Bakar berkata, keputusan untuk menarik balik pelaksanaan caj tersebut kerana pihaknya perlu membuat kajian terperinci mengenai perkara tersebut.
Menurutnya, banyak perkara yang perlu diambil kira khususnya kesan terhadap penumpang yang kerap menaiki bas ekspres di terminal ini.
“Walaupun caj RM2 telah dilaksanakan di Johor Larkin Sentral 1 Januari lalu begitu juga di beberapa teminal lain namun pihak kami perlu mengkajinya semula.
“Memang benar kita akan melaksanakan caj RM2 itu namun setelah melihat daripada maklum balas orang ramai yang kerap menggunakan terminal ini sewajarnya satu kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan diambil,” ujarnya di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai satu kenyataan daripada Melaka Sentral bermula 1 Julai ini mengenai semua pembelian tiket secara atas talian atau di kaunter atau terminal lain akan dikenakan caj sebanyak RM2.
Kadar bayaran RM2 ialah caj fasiliti (RM1) dan caj kod QR (RM1). Kenyataan tersebut ditampal di kaunter tiket berpusat di terminal tersebut sejak beberapa hari lalu. Caj RM2 itu bukan sebahagian daripada harga tiket bas yang dibeli penumpang.
Caj baharu itu adalah sama dengan caj pas masuk di Penang Sentral dengan kadar bayaran RM1 tetapi tidak mengenakan bayaran tambahan bagi menggunakan fasaliti di terminal tersebut.
Sebelum ini Melaka Sentral mengenakan caj sebanyak 70 sen bagi setiap pas masuk sebelum menaiki bas ekspres ke setiap destinasi.
Seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Zakaria berkata, pihak Melaka Sentral sewajarnya mengkaji semula caj RM2 yang hendak dikenakan kepada penumpang yang ingin menaiki bas ekspres di terminal tersebut.
Katanya, yang paling terkesan ialah mereka yang menggunakan bas ekspres itu setiap hari kerana bekerja di Kuala Lumpur.
“Saya adalah salah seorang yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres ke Kuala Lumpur setiap hari. Caj RM2 membebankan kerana ini tidak termasuk caj parkir kereta RM2,” ujarnya. – SM Melaka