SPM 2021: Iman Troye bangga hampir 200 pelajar PTTI naik gred dari G ke A
TREND bangga tayang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 walaupun tak cemerlang di sosial media termasuk TikTok meraih pelbagai reaksi baru-baru ini.
Malah rata-rata, ramai yang tidak senang dengan trend berkenaan kerana ia mampu mempengaruhi pelajar lain untuk tidak perlu belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan keputusan cemerlang.
Namun, hakikatnya situasi sebegitu tidak wajar dibanggakan. Justeru, pusat ilmiah PTTI tetap percaya bahawa belajar itu tetap bersandar kepada niat dan usaha untuk mencapai kejayaan terbaik.
Duta pusat ilmiah berkenaan, Iman Troye baru-baru ini bangga kerana hampir 200 pelajar yang mengikuti jenama pendidikan popular berkenaan mendapat peningkatan keputusan daripada gred G ke A dalam peperiksaan SPM 2021 diumumkan 16 Jun 2022 lalu.
Malah serentak dengan pengumuman SPM tempoh hari juga, penyanyi lagu Nang itu bersama pusat ilmiah berkenaan menawarkan RM300 kepada 10 pelajar bertuah yang berjaya menaik taraf gred terbabit.
Baru-baru ini, 10 pelajar berkenaan sudah menerima ganjaran ditawarkan. Termasuklah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Taman Bunga Raya di Rawang, Selangor iaitu adik Nur Anis Mohd Ridhwan.
Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin berkata pencapaian diraih pelajar berkenaan menerusi inisiatif dilakukan pusat ilmiah cukup membanggakan.
“Saya sendiri pernah berperang dengan peperiksaan SPM pada tahun 2019. Cabaran belajar zaman sekarang dengan kepesatan teknologi media sosial bukanlah mudah.
“Begitu juga dengan mereka yang bergelut belajar di era pandemik COVID-19. Namun, tabik kepada mereka yang tidak lemah semangat dan menjadikan ujian atau cabaran sebagai alasan.
“Kejayaan adik Nur Anis contohnya yang tak pernah seumur hidup dapat straight A selama ini berubah sekelip mata dengan mengikuti teknik belajar di PTTI,” kata Iman.
Kata pelantun lagu Teman itu lagi, berjaya melonjakkan gred dari G ke A bukan perkara mudah.
“Namun jelas, tiada apa saja yang mustahil dalam hidup ini. Kesungguhan dan semangat jitu untuk membuktikan peningkatan dalam hidup mahupun pelajaran mampu memberikan pengakhiran yang indah.
“Tiada alasan untuk berjaya. Hanya mereka yang memberi alasan saja sering buntu dalam kehidupan. Malah kita belajar untuk mendapat gred atau keputusan yang baik. Bukan sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengasas PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra disapa Cikgu Fana sendiri memanjat kesyukuran kerana peningkatan gred membabitkan pelajar bimbingan mereka.
“Mesej langsung Nur Anis di Instagram (IG) yang diterima cukup mengujakan saya. Bagaimana dia memuji usaha kami sebagai cikgu PTTI, buat saya sayu.
“Cikgu mana yang tidak bangga jika anak didiknya tidak mempersiakan ilmu yang dikongsi. Lebih utama kejayaan mereka tentunya membanggakan ibu bapa.
“Syabas saya ucapkan kepada lebih 5,247 pelajar kami yang mendapat keputusan SPM kali ini. Termasuklah hampir 200 yang berjaya menaikkan gred dari G ke A,” kata Cikgu Fana.
Cikgu Fana menambah kejayaan diraih pelajar SPM mereka tahun ini akan terus menjadi lonjakan kepada usaha yang dianjurkan agresif sejak tahun 2016.
“Terima kasih kerana terus mempercayai kami,” kata Cikgu Fana.
Menjawab isu trend bangga tayang keputusan tidak cemerang SPM seperti ‘straight G’, Cikgu Fana menyifatkan ia bukanlah budaya yang sihat.
“Selama ini kita belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai gred terbaik. Malah jika usaha itu tidak memberikan keputusan cemerlang sekalipun, sekurang-kurangnya kita sudah berusaha.
“Dulu pelajar gagal tebal dengan sifat malu jika mereka gagal mendapat keputusan terbaik. Tapi kini, sebaliknya yang terjadi kerana terlalu mengejar membina ‘content’ di media sosial biarpun ia bukan sesuatu yang patut dibanggakan,” kata Cikgu Fana.
Pusat ilmiah ini pernah menerima Anugerah BrandLaureate Bestbrands in Online Education Platform (Platform Pendidikan Dalam Talian) pada tahun 2020.
Malah aplikasi pembelajaran dalam talian dipanggil PTTI: Better Result yang dipromosikan tahun 2021 dinobatkan di peringkat global sebagai penerima Education 2.0 – Best Companies Award pada Mac lalu berlangsung di Intercontinental Dubai Festival City, Emiriah Arab Bersatu (UAE). – SM
Artikel berkaitan > Iman Troye nak bagi RM300 kepada pelajar catat keputusan cemerlang SPM