AgamaNasionalNegeri

Wahabi bukan amalan rakyat Perlis

RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam titahnya menegaskan bahawa Perlis langsung tidak berpegang kepada ajaran ‘Wahabi’.

Titah baginda, keutamaan Perlis adalah kepada setiap perkara perlu berteraskan al-Quran dan Sunnah dengan melihat kepada huraian dan ijtihad para ulama yang muktabar yang terdiri daripada semua aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak terhad pada satu-satu tokoh sahaja.

“Saya tahu ada segelintir golongan yang suka melabel orang-orang yang menyeru untuk berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai ‘wahabi’ dan lain-lain,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berucap pada perasmian Penutup Perkampungan Sunnah Siri Ke-7 2022 di Masjid Alwi Kangar, Perlis malam tadi sambil disaksi Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullalil (tiga dari kanan), Azlan Man (dua dari kanan) dan Mohd Nazim Mohd Noor (kiri sekali). Gambar Ihsan Jabatan Penerangan Perlis.

Baginda bertitah demikian sempena majlis perasmian Penutup Perkampungan Sunnah Siri Ke-7 2022 di Masjid Alwi Kangar, Perlis, malam tadi.

Berkenan hadir Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahril Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Raja Perlis juga menyeru mana-mana yang berbeza pandangan dengan kaedah yang dipegang oleh Perlis, tidak terus menerus melemparkan tuduhan tidak munasabah tanpa berbincang serta mendapatkan maklumat yang lengkap dan sahih.

“Sedar ataupun tidak, beta dimaklumkan bahawa perkembangan ajaran khurafat dalam kalangan masyarakat semakin menjadi-jadi,” titah baginda.

Titah baginda, ada yang percaya air keramat, ada yang percaya Nabi hadir ke tempat mereka, ada pula yang percaya roh berpindah dari satu jasad ke jasad yang baharu, ada yang meminta pertolongan jin dan pelbagai lagi dakwaan karut yang lain.

MAJLIS ilmu mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat setempat yang hadir pada Majlis Perasmian Penutup Perkampungan Sunnah Siri Ke-7 2022 di Masjid Alwi Kangar, Perlis malam tadi. (Gambar Ihsan Jabatan Penerangan Perlis).

“Dalam hal ini, Perlis adalah benteng utama Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segala amalan tahayul, khurafat dan tokok tambah ajaran agama tanpa asas yang benar,” titah baginda.

Baginda menyeru semua yang hadir dan seluruh umat Islam bersama-sama Perlis berganding bahu dan tolong menolong dalam membela sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sementara itu, Perkampungan Sunnah yang bertemakan  “Bangkit Membela Sunnah” berakhir semalam.

Lebih 30 penceramah terkemuka di seluruh negara terlibat dalam Perkampungan Sunnah kali ini.

Perkampungan Sunnah kali inimenyajikan pengisian ilmu dan aktiviti bermanfaat yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Kemeriahan program ini turut melibatkan aktiviti sampingan seperti reruai pameran dan gerai jualan di mana disediakan 60 gerai jualan.

Selain itu berbagai acara menarik turut disediakan seperti acara sukan, kesenian, derma darah dan sebagainya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button