Harga makanan di restoran viral berpatutan – Ngwe Hee Sem
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 11 Jun – Tular di media sosial dakwaan seorang wanita bahawa makanan yang dijual mencecah sehingga
RM240 dianggap mahal namun sebaliknya ia bertepatan dengan makanan yang dijamu kepada ahli keluarganya yang datang dari Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Tenaga Kerja, Perhubungan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, berdasarkan resit bayaran yang dilihatnya mendapati harga makanan yang dihidangkan kepada keluarga wanita terbabit seramai 10 orang adalah memadai.
“Saya datang ke restoran ini selepas menerima aduan serta melihat di media sosial berhubung tindakan
pemilik restoran ini yang didakwa menjual dengan harga yang tinggi dan juga layanan buruk terhadap
pelanggan.
“Saya lihat senarai makanan dan harganya juga tidak semahal mana dan harga yang dikenakan kepada pelanggan
adalah berpatutan.
“Tengok menunya seperti daging goreng kunyit, sayur campur, telur dadar lapan biji, asam pedas pari
seketul berharga RM15 ada enam ketul, ulam, kerabu mangga, sambal belacan dan minuman untuk 10 orang
rasanya harga adalah berpatutan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pemberita selepas melawat dan berbual dengan pemilik
Restoran 35 di Plaza Mahkota, Bandar Hilir, dekat sini hari ini.
Berhubung layanan buruk kepada pelanggan Hee Sem berkata, beliau telah dimaklumkan rakaman video yang
tular di media sosial adalah percakapan antara nenek, ibu dan anak pemilik kedai ketika berada di dapur.
“Suara pemilik kedai serta anak dan cucu mereka sewaktu bersembang memang mereka bercakap sangat kuat. Itu
cara dia malah mereka ketawa pun sangat kuat,” ujarnya.
Katanya, budaya mereka anak beranak bercakap kuat itu bukan bermakna mereka marah atau maki pelanggan
sebaliknya apa terjadi mungkin berlaku salah faham.
Jelasnya, dalam kalangan pelanggan tetap di restoran berkenaan mengakui mereka sudah biasa mendengar suara
tinggi pemilik kedai itu.
Begitupun kata Hee Sem, beliau turut menasihatkan pemilik restoran itu untuk menjaga adab dan bersopan
dengan pelanggan yang berkunjung ke kedainya.
Beliau berkata, insiden itu dianggap sebagai kes terpencil dan menyifatkan rata-rata peniaga di negeri ini
melayan pelanggan yang datang dari luar adalah baik setakat ini.
Jelasnya, harga makanan yang ditawarkan juga disifatkan tidak terlalu mahal jika hendai dibandingkan di
beberapa negeri lain.