Berita

Semua pihak perlu sokong inisiatif sekuriti makanan

EKOSISTEM makanan kini adalah amat dinamik dan sering terdedah kepada perubahan lanskap politik, ekonomi dan sosial. Negara kita telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambahbaik bidang ini bagi menjamin kelangsungan dan kestabilan di sepanjang rantaian nilai agromakanan.

Usaha ini perlu disokong oleh semua pihak termasuklah sektor awam dan swasta, serta mereka yang berkepentingan tanpa mengira latar belakang pendidikan, ekonomi, sosial, dan juga jantina.

Demikian titah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas berkenan menyempurnakan sesi menandatangani surat-surat penghargaan kepada jawatankuasa penganjuran program ‘Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri ke-9’ bertajuk ”Agropreneur Wanita: Saksama Bersama Menjamin Sekuriti Makanan Negara” yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan kerjasama YTF secara atas talian pada 28 Mei 2022 baru-baru ini.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTF merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih khas kepada Ketua Setiausaha MAFI, Dato’ Haslina Abdul Hamid di atas penglibatan dan komitmen yang tidak terhingga diberikan oleh beliau dan warga kerja MAFI serta para penceramah undangan yang hebat-hebat belaka dalam menjayakan program webinar yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail tersebut.

Tambah Tuanku Raja Puan Muda lagi, ‘Hari ini, bidang pertanian juga adalah tidak asing lagi untuk golongan wanita. Ramai pengusaha wanita yang terlibat dalam bidang ini yang telah berjaya membuktikan bahawa mereka juga berkemampuan untuk menerajui bidang yang lebih sinonim dengan golongan lelaki ini.

Malahan, telah banyak yang kita saksikan bagaimana golongan wanita ini membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat seterusnya menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara’ bertepatan sekali dengan slogan MAFI iaitu “Pertanian Menjana Ekonomi”, “Memartabatkan Sekuriti Makanan Negara”.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button