Nasional

Raja Muda Perlis titah agar prihatin terhadap keluarga dan masyarakat

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar budaya peka dan peduli kepada keluarga sendiri, sahabat handai dan masyarakat sekeliling perlu diterapkan.

Pembentukan kecerdasan minda yang baik secara optimum amat diinginkan oleh setiap individu yang normal. Sebagai individu yang prihatin, kita haruslah sihat dari segi fizikal dan mental supaya berupaya untuk sama-sama membangunkan negeri dan juga negara kita tercinta ini pada masa hadapan.

Demikian dititahkan baginda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM11,600 kepada seramai 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Muttaqin Changkat Jawi dekat Arau untuk diagihkan oleh amilnya Ibrahim Ahmad sempena ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 14 bagi tahun 2022’ semalam. Masing-masing akan menerima RM400.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi.

Tuanku Raja Muda turut menasihatkan supaya orangramai cakna dan prihatin akan simptom yang menyumbang kepada kemerosotan kesihatan mental kita.

Jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Ini kerana pembentukan minda yang cerdas boleh terbantut dan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Antara simptom tersebut adalah sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, kurang fokus, mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan, mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif dan kasar terhadap diri sendiri dan orang sekeliling, serta lain-lain lagi perkara negatif. Sekiranya tanda-tanda itu ada pada diri atau rakan-rakan segeralah dapatkan bantuan sokongan profesional dengan berjumpa kaunselor, pakar psikologi atau psikiatri’.

Terdahulu daripada itu diadakan taklimat mengenai kempen ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’ yang disampaikan oleh Pengarah SWCorp Negeri, Shamsuharizal Basir.

(Visited 380 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button