Kerjasama HRD Corp dan Microsoft bakal perkasa belia Orang Asli – Saravanan
PERBADANAN Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan bekerjasama dengan Microsoft untuk melaksanakan program pembangunan infrastruktur dan pembangunan modal insan yang memfokuskan kepada penggunaan teknologi semasa dalam memperkasakan belia Orang Asli di Malaysia.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata perbincangan mengenai perkara itu dengan Microsoft telah diadakan semasa lawatan kerjanya ke Washington di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Beliau berkata bagi memulakan inisiatif itu, HRD Corp akan melaksanakan projek perintis untuk Orang Asli di Tapah, Perak yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100 keluarga Orang Asli sebelum ia diperluaskan kepada seluruh masyarakat itu kelak.
“Kerjasama ini akan menggabungkan kekuatan kedua-dua organisasi dalam memperkasakan belia Orang Asli melalui penggunaan teknologi yang akan meningkatkan kemahiran dan keupayaan berfikir,” katanya dalam satu kenyataan.
Saravanan juga berkata, matlamat utama pelaksanaan program dan inisiatif itu adalah untuk menggalakkan belia khususnya Orang Asli meningkatkan diri secara proaktif serta membuka peluang pekerjaan dan menjadi usahawan.
Katanya, beliau optimis kerjasama antara HRD Corp dan Microsoft akan memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli melalui program berimpak tinggi membabitkan sektor teknologi. – SM