Bekas Setiausaha Agung BN kena sekolah, tak faham perlembagaan
Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa hari ini memuat naik kandungan Perlembagaan Barisan Nasional mengenai tatacara dan kaedah pelantikan Pengerusinya dipercayai sebagai menyindir Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang meminta beliau diam kerana tidak memahami Perlembagaan Barisan Nasional (BN).
Portal berita Suara TV melaporkan kenyataan sinis Tengku Adnan, semalam, menyifatkan cadangan Annuar Musa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi peranan dan amanah sebagai Pengerusi BN dan pengarah utama jentera pilihan raya BN sebagai tidak berperlembagaan.
Menurut Tengku Adnan, Pengerusi BN mesti dipilih dari jawatan Presiden Umno dengan persetujuan ahli Jawatankuasa BN.
Annuar Musa sebelum ini mencadangkan agar Ismail Sabri diberi peranan dan amanah sebagai Pengerusi BN dan pengarah utama jentera pilihan raya BN selaras dengan keputusan Majlis Kerta Tertinggi UMNO (MKT) mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
Walaupun tidak merujuk khusus kepada Tengku Adnan, Annuar Musa dalam entri Facebook itu memuat naik petikan Perkara 8.3 (a) Perlembagaan Barisan Nasional yang menyatakan tatacara pemilihan Pengerusi, sambil menulis komentar sinis,
“Sekarang musim orang bercakap hal perlembagaan. Perlembagaan negara, perlembagaan parti…tapi ramai juga yg bercakap tanpa membaca. Jadi eloklah baca supaya kita bercakap dgn fakta yg tepat bernas dan dilihat cerdik. Saya sertakan sedikit petikan dari Perlembagaan BN bagi yg berminat.Bolehlah baca sementara nak ke bazaar Ramadan.Takut di sana,ada media yg tanya.”
Perkara 8.3 (a) Perlembagaan BN menyatakan, “Pengerusi Barisan Nasional yang juga akan menjadi Pengerusi Dewan Tertinggi, hendaklah dipilih oleh anggota-anggota Dewan Tertinggi. Pengerusi boleh memegang jawatannya selagi dikehendaki oleh Dewan Tertinggi.
“Sekiranya Pengerusi meletakkan jawatannya, perletakan jawatan itu hendaklah berjalan kuatkuasanya selepas mendapat kelulusan Dewan Tertinggi yang akan memilih dengan secepat mungkin seorang Pengerusi baru.”
Sementara itu Penganalisis politik Datuk Saiful Bahar berkata, dakwaan Ahli Parlimen Putrajaya itu bahawa memegang jawatan Presiden UMNO merupakan sebahagian kriteria untuk menjadi Pengerusi Barisan Nasional (BN) adalah tidak tepat.
Menurut Saiful, tidak tertera dalam Perlembagaan BN bahawa Presiden UMNO harus menjadi Pengerusi kepada gabungan parti itu.
Bahkan, tegas beliau lagi, Perlembagaan berkenaan jelas menyebut penyandang kepada jawatan itu hendaklah dipilih daripada kalangan ahli-ahli Dewan Tertinggi Barisan Nasional.
“Ku Nan kata dalam Perlembagaan Barisan Nasional, siapa Presiden UMNO automatik akan jadi Pengerusi Barisan Nasional. Ku Nan tersilap. Sebenarnya, Pengerusi Barisan Nasional di pilih oleh Ahli-Ahli Anggota Dewan Tertinggi Barisan Nasional.
“Sekiranya Pengerusi BN letak jawatan. Ahli-Ahli anggota Dewan Tertinggi BN harus memilih Pengerusi BN yang baru,” kata Saiful dalam kenyataan yang diedarkan kepada media hari ini.