Selain perniagaan, Ayu fokus belajar
SELAIN aktif memenuhi undangan majlis amal, penyanyi terkenal, Ayu Damit juga ingin merancakkan perniagaannya ke negara jiran iaitu Singapura.
Sepanjang bulan Ramadan kali ini Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit lebih memfokuskan kepada program-program amal dan perniagaan yang diusahakan, katanya yang juga melanjutkan pengajian Asasi di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA)
“Ayu sudah tamat dua semester, jadi kali ini, semester ketiga adalah semester terakhir Ayu untuk naik ke degree.
“Bidang pengajian yang Ayu pilih adalah bidang vokal, dan ini juga merupakan persediaan untuk karier masa depan Ayu” katanya ketika ditemui semalam, pada Majlis Berbuka Puasa Jalinan Iftar bersama anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Cahaya Kasih.
Tambahan, Ayu berkata program amal yang dijalankan ini memberi keseronokan kepada beliau apabila berpeluang menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
“Kita sebagai manusia, kita ada masa, jadi kita turun bersama-sama mereka, meraikan mereka supaya mereka tidak merasa kehilangan dan bagi mereka gembira.
“Ayu juga menerima banyak undangan program amal untuk bulan Ramadan” jelasnya yang menerima undangan untuk satu lagu program amal yang bakal dilaksanakan di Shah Alam.
Sementara itu, Ayu bersyukur kerana Allah telah memudahkan segala urusannya dan semua perancangan yang dibuat berjalan dengan lancar.
Ayu juga sempat mengucapkan selamat hari raya kepada keluarga dan peminat-peminat yang banyak mendokong kariernya selama ini.
“Kepada semua, selamat hari raya, maaf zahir dan batin Ayu ucapkan, kalau Ayu ada salah dan silap, tolong maafkan, segala salah percakapan dan perbuatan, Ayu mohon maaf terutama kepada keluarga” katanya. – SM