Politik

Tidak ada sebab perlu sisih Ahmad Zahid, Najib

Wartawan Suara Merdeka

JASIN 9 April – Wanita UMNO Malaysia mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan
bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menjadi kekuatan parti itu dan Barisan
Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata, tiada sebab kedua-dua tokoh politik perlu disisihkan
atau bersara ketika kebangkitan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) apabila memenangi Pilihan Raya
Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

Menurutnya, Ahmad Zahid dan Najib juga dilihat bukan beban buat parti untuk menghadapi PRU-15 sebaliknya
mereka berdua menjadi suntikan semangat kepada jentera Wanita seluruh negara yang sudah bersiap sedia
menghadapi pilihan raya itu nanti.

“Ramai pihak terutama pembangkang tidak senang hati melihat kedua-dua pemimpin UMNO ini sentiasa berada
di hadapan pada PRN di Melaka dan Johor hingga berjaya menarik minat rakyat keseluruhannya.

“Baik Ahmad Zahid atau Najib, kedua-dua mereka ini ada pengaruh dalam kalangan rakyat yang mana kehadiran
mereka berjaya mendapat meraih undi dan ini sebenarnya ditakuti oleh pembangkang.

“Bagi Wanita UMNO sendiri serta seluruh kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian tidak sama sekali
akan menyisihkan kedua-dua tokoh tersebut,” ujarnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Indahnya Baraqah Ramadan anjuran Biro Penerangan UMNO
Bahagian Jasin di Dewan Terbuka Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bemban di sini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd. Rahman dan Ketua Penerangannya, Datuk
Shahrulazwa Abdul Aziz.

Mengulas lanjut Norshida berkata, kedua-dua tokoh tersebut banyak membantu menaikkan semula parti itu
terutama selepas tewas BN mengejut pada PRU-14 lalu

Menurutnya, kehadiran mereka sebenarnya telah banyak membantu UMNO dan BN apabila memenangi tujuh Pilihan
Raya Kecil (PRK) dan PRN di Melaka serta Johor.

“Siapa kata mereka ini membeban parti dan perlu bersara itu adalah kenyataan yang sengaja diada-adakan
untuk melemahkan parti,” ujarnya.

Justeru tegasnya, Wanita UMNO menyeru semua jentera parti berdiri teguh kepada kepimpinan sedia ada dan
tidak terpengaruh dengan pelbagai dakyah cuba memesongkan tumpuan menghadapi PRU-15.

(Visited 401 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button