Final Big Stage: Kalau Aisha Retno orang Sabah…
BUKAN rumah sudah siap, pahat masih berbunyi tetapi ada rasa terkilan apabila Juara Big Stage malam tadi tidak menjadi milik Aisha Retno.
Memang juri-juri ada alasan, sebab dan musabab mereka yang tersendiri mengapa memilih Elica Paujin sebagai juara dan naib juara, rakyat senegeri Elica, Daniel Chuer.
Itupun kalau keputusan yang telah dibuat tidak ada tangan ghaib lagi ajaib yang turut mencampuri.
Namun apa lagi yang boleh dikatakan apabila malam tadi, Ajai memaklumkan secara langsung bahawa penjurian beliau tidak mengambil kira dendangan penyanyi itu kelaut dalam atau pun tidak.
Tidak mengambil kira sumbang atau nota tidak sampai, tidak juga mengambilkira ‘pitching out’. Jadi, tidak tahulah apa yang Ajai ambil kira dalam penjuriannya terhadap Aisha Retno malam tadi.
Persembahan Aisha Retno malam tadi memang nampak dia membuat persiapan mental dan fizikal untuk memberikan yang terbaik.
Bagaimanapun, kata Ajai, ada empat ke lima kesalahan yang dilakukan oleh Aisha ketika melunaskan dua persembahan termasuk duet.
Walaupun persembahan Daniel dengan pasangan duetnya kelihatan, Daniel dimakan begitu sahaja namun rezeki orang Sabah Bah! Daniel Naib Juara dan Aisha Retno tetap tempat ketiga.
Persembahan pertama Aisha Retno menyampaikan lagu yang dipopularkan oleh komposer dan penyanyi Amerika, Alicia Keys berjudul Fallin, disampikan dengan agak baik oleh Aisha Retno.
Walaupun ada nota yang Aisha Retno terkucil tetapi Ajai sudah kata, beliau tidak melihat pada pitching!
Fallin yang disampaikan oleh Aisha Retno ialah Fallin Aisha Retno. Cuma ia tidak cukup hebat untuk mengangkat dirinya sebagai Juara Big Stage malam tadi.
Gandingan bersama Jacklyn Victor sebagai pelengkap persembahan Aisha Retno di atas pentas Big Stage musim keempat.
Aisha Retno terpaksa reda dan berpuas hati membawa pulang trofi tempat ketiga dan wang RM25,000 yang perlu tunggu beberapa bulan lagi, baru ‘clear’ dan selepas ditolak cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). – SM