Kementerian nafi benarkan mereka yang positif Covid-19 mengundi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menafikan mengeluarkan arahan mengenai penyediaan saluran pengundian pada pilihan raya negeri Johor bagi mereka yang positif Covid-19 seperti yang tular di media sosial.
Dalam catatan Facebook, kementerian menggesa orang ramai supaya mengabaikan rakaman audio itu.
“Sila abaikan rakaman audio ini dan ikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya.”
Sebelum ini, satu rakaman audio menjadi tular, mendakwa mereka yang positif Covid-19 boleh mengundi dengan syarat mereka memaklumkan kepada kementerian kesihatan butiran peribadi mereka seperti nama, alamat dan nombor telefon.
Rakaman audio itu juga mendakwa kenderaan milik kementerian kesihatan yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri akan membawa pesakit positif Covid-19 ke dan dari pusat mengundi.