Politik

ARMADA desak polis siasat poster PN dirosakkan di PRN Johor

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)  Johor mendesak pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan segera ke atas aduan berhubung kesalahan pilihan raya sehingga menyebabkan kerosakan pada beberapa poster milik Perikatan Nasional ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Kejadian merosakkan kanvas atau menumbangkan struktur poster kempen Perikatan Nasional dikesan berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan DUN Buloh Kasap. 

“Kami mahu supaya pendakwaan dan hukuman turut dilakukan segera dalam tempoh kempen PRN Johor sekarang supaya memberi iktibar kepada semua penyokong mahupun kepemimpinan parti lain,” kata Ketua Armada Bersatu Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan.

Berdasarkan laporan media  setakat 1 Mac lalu, PDRM telah membuka tujuh kertas siasatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada masa sama, ARMADA Johor mencadangkan pihak PDRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanggil wakil parti yang terlibat dengan mana-mana kesalahan tersebut untuk tujuan kaunseling supaya mereka memainkan peranan atau menyumbang kepada usaha ke arah memahami dan mencapai aspirasi kempen politik lebih beretika serta berintegriti pada masa depan.

“Seiring komitmen kepemimpinan Perikatan Nasional yang diterajui YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sedang melakukan pembaharuan dan perubahan pada landskap politik negara, ARMADA Johor menyarankan semua pendokong serta kepemimpinan parti politik di negara ini harus berusaha membentuk persekitaran politik lebih bersih, matang, profesional, berintegriti serta beretika termasuk merangkumi proses kempen pilihan raya,” kata beliau.

Dalam keghairahan semua parti untuk meraih sokongan dan seterusnya calon masing-masing mencapai kemenangan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada PRN Johor pada 12 Mac kelak, perkara asas yang amat penting untuk mempertahankan ketenteraman adalah sikap saling menghormati.

Saranan ARMADA ini berikutan kebimbangan kami terhadap keselamatan dan ketenteraman awam  sepanjang tempoh kempen PRN Johor ini apabila PDRM menyatakan pihaknya mengenal pasti lokaliti panas melibatkan 17 DUN dengan mengambil kira sentimen persaingan politik, isu perkauman, jenayah kongsi gelap serta pelbagai aktiviti jenayah lain.

ARMADA Johor turut menyarankan PDRM mengadakan sidang akhbar harian berhubung tindakan-tindakan tegas yang dilakukan berkaitan kesalahan pilihan raya bagi mewujudkan suasana kempen yang lebih beretika serta aman.

Pada masa sama, ARMADA Johor mengucapkan syabas kepada Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) selaku badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang ditauliahkan oleh SPR untuk menjadi pemerhati PRN Johor ini menerusi 13 wakilnya yang telah ditempatkan di negeri ini sehingga 12 Mac nanti.

“Semoga MCW memainkan peranan sewajarnya bagi memastikan PRN Johor sifar rasuah dan salah guna kuasa serta tidak melanggar integriti sekali gus menyumbang kepada pembaharuan landskap politik negara ke arah yang lebih bersih,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button