Politik

Jadikan PRN Johor pembentukan Kerajaan berintegriti – Muhyiddin

Akujanji Anti Rasuah ditandatangani 56 calon PN

ADA mata yamg memandang, ada telinga yang mendengar dan ada mulut yang mengata, Akujanji Perikatan Nasional (PN) sia-sia sahaja kerana ketika Akujanji ini dibuat pertama kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu, ia tidaklah seberkesan sepertimana yang diharapkan.

Bagaimanapun, hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin membawa Akujanji Anti Rasuah Perikatan Nasional kepada 56 orang calon yang bertanding pada PRN Johor, 12 Mac ini.

Mengimbas kembali kata-kata Muhyiddin, PN Melaka melakar sejarah sebagai satu-satunya parti yang mewajibkan calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya mengikrarkan Akujanji Anti Rasuah.

“Ini membuktikan komitmen PN yang tinggi dalam perjuangan membanteras rasuah dan mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ikrar dan Tandatangan Akujanji Integriti Calon Perikatan Nasional PRN Johor 2022, hari ini.

Muhyiddin berkata, telah berlaku banyak kerosakan dalam negara apabila integriti tidak menjadi pegangan mereka yang diamanahkan untuk memimpin negara.

Beliau berkata, jenayah rasuah dan pecah amanah berlaku dalam skala yang besar apabila pemimpin tidak berintegriti dan tidak beramanah.

Oleh itu, ujar Muhyiddin dalam ucapannya, berbilion ringgit wang rakyat dan aset negara lesap begitu sahaja dan institusi negara rosak dirompak oleh pemimpin yang tidak amanah.

“Negara menanggung malu dan rakyat menanggung beban hutang yang ditinggalkan oleh pemimpin yang pecah amanah,” katanya sambil memberi contoh jenayah penyelewengan 1MDB dan SRC International.

Dalam ucapannya, Muhyiddin menekankan, kedua-dua contoh yang diberikan adalah antara contoh klasik bagaimana berbilion ringgit wang negara hilang begitu sahaja dan sebahagiannya masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

Kata Muhyiddin, di Parlimen semalam dia (Najib) kata itu bukan duit rakyat.

“Itu duit Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain. Dia lupakah yang 1MDB menerbitkan bon-bon yang dijamin oleh Kerajaan?

“Apabila 1MDB gagal membayar hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa membayar yang keseluruhannya berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039. Lama tu,” katanya.

Tambah Muhyiddin, bayangkan dengan jumlah RM21 bilion ini yang ada dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB.

“Ini duit rakyatlah. Banyak projek-projek pembangunan yang boleh dibina untuk rakyat seperti sekolah, hospital, jalanraya, landasan keretapi laju, akses internet dan lain-lain.

“Lebih banyak bantuan prihatin, biasiswa dan subsidi yang boleh disediakan kepada golongan yang memerlukan tetapi kerana pemimpin tidak berintegriti, tidak beramanah, puluhan billion wang negara hilang begitu sahaja dan rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan,” tegas Muhyiddin dalam ucapannya.

Beliau berkata, adalah besar ertinya nilai integriti kepada kita semua termasuk calon-calon PN yang bertanding pada PRN Johor kerana tanpa integriti negara kita rosak, masyarakat kita rosak.

“Perikatan Nasional ingin membina negara dan masyarakat atas nilai yang murni. Kita ingin didik masyarakat dan generasi akan datang betapa pentingnya kepimpinan yang berasaskan nilai-nilai yang murni.

“Hanya dengan amalan dan nilai yang murni kita dapat melahirkan kepimpinan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat,” ujar beliau.

Katanya lagi, apabila pemimpin berintegriti maka wujudlah masyarakat dan negara yang makmur, sejahtera dan sentosa.

“Perikatan Nasional mahu melahirkan kepimpinan yang berintegriti dan ia sudah tentulah bermula daripada kita.

“Sebagai calon-calon wakil rakyat yang akan dipilih oleh rakyat negeri Johor untuk mentadbir negeri Johor kelak, anda semua memikul satu amanah yang berat dan tanggungjawab yang besar untuk memastikan nilai integriti sentiasa dijunjung,” pesan Muhyiddin kepada 56 orang calon PN yang bertanding. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button