Remaja dimandikan sepeti jenazah: Hakim minta AJK masjid mohon maaf
AHLI Jawatankuasa Masjid yang bertindak memandikan seorang remaja yang cuba mencuri tabung masjid seperti jenazah diminta memohon maaf dengan remaja itu,
Hakim Mahkamah Tinggi Abd Halim Aman menyarankan AJK masjid terbabit memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat umum.
Memetik Free Malaysia Today, Hakim itu berkata, itu adalah satu daripada dua saranan dibuat olehnya supaya kes itu menjadi pengajaran dan menjernihkan keadaan antara semua pihak.
Malah beliau juga menyarankan pihak yang merakam video kejadian terbabit dan menyebarkannya sehingga tular juga turut memohon maaf.
“Ini bukan satu perintah, tetapi hanyalah satu saranan,” katanya.
Sebelum itu Hakim Abdul Halim mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 ke atas remaja itu, Daniel Iskandar. 19, oleh Mahkamah Majistret Selayang minggu lalu. sebaliknya digantikan dengan khidmat masyarakat di masjid sebanyak 120 jam selama enam bulan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat, manakala pesalah muda itu diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.
Turut serta dalam prosiding itu adalah peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini bagi Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), manakala Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie sebagai peguam pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang.
Sementara itu, Hariz berkata saranan Halim supaya keluarga Daniel, pihak masjid dan orang yang menularkan video kejadian berkenaan mengadakan pertemuan akan diaturkan PPMM dalam masa terdekat.
Katanya, PPMM akan menyelesaikannya dalam tempoh seminggu dengan cara baik.
“Itu kita harapkan. Saya akan bawa saranan hakim ke pimpinan PPMM untuk dapat arahan lanjut. Sekiranya tidak ada halangan, PPMM akan hubungi pihak tersebut untuk selesai cara baik,” katanya.