Nasional

Irmohizam dilantik Pengerusi MAC, WTCA

DATUK Seri Dr Irmohizam Ibrahim yang merupakan Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) telah dipilih secara sebulat suara sebagai individu pertama dilantik Pengerusi Konvensyen dan Pameran (C&E) Majlis Anggota Penasihat (MAC) World Trade Centers Association (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.

Manakala Naib Pengerusi yang dilantik pula adalah Okay Basbug dari World Trade Center Istanbul.

Penutupan sempadan (penuh dan separa) dan kelewatan pembukaan semula industri telah menyebabkan Malaysia, khususnya, mengalami kerugian lebih daripada RM27.5 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Di samping itu, industri pelancongan Malaysia turut mengalami kerugian hasil sebanyak RM45 bilion.

Dengan penggabungan baharu ini, diharapkan semua ahli WTCA dapat bekerjasama untuk merancakkan dan mengembalikan semula kegemilangan industri ini dalam tempoh pasca pandemik.

“Sebagai rakyat Malaysia dan Bumiputera pertama yang menyandang jawatan tertinggi ini dalam mempengerusikan industri Konvensyen dan Pameran di dunia, saya amat berharap imej negara kita dapat dilihat secara serius dan positif oleh seluruh dunia melalui lebih banyak kerjasama di kalangan ahli WTCA yang lain yang kini berjumlah 326 WTC seluruh dunia. Demi membangkitkan semula industri ini sikap keterbukaan dan inklusif oleh setiap ahli adalah wajar,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada seluruh Ahli Lembaga Pengarah WTCA serta kepimpinan World Trade Center di seluruh 86 negara yang memberikan keyakinan kepada dirinya dalam memimpin sebuah organisasi dunia dalam industri MICE dan BE.

Beliau akan menyandanag jawatan itu selama tempoh dua tahun.

Sebelum ini WTCA membahagikan C&E MAC kepada beberapa buah wilayah iaitu Asia Pasifik, Amerika dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA).

Terkini, kesemua ahli Lembaga Pengarah WTCA telah bersepakat untuk menggabungkan kesemua MAC WTCA menjadi sebuah kumpulan global di dunia. Penggabungan ini akan dapat meningkatkan penyertaan acara perniagaan, pameran dan konvensyen dari seluruh anggota WTCA.

WTCKL akan terus konsisten untuk menaikkan industri pelancongan dan perdagangan di Malaysia dan juga menyumbang lagi kepada kejayaan industri MICE dan BE secara menyeluruh.

“Terdapat potensi sinergi antara negara-negara yang masih belum diterokai sepenuhnya. WTCKL akan berusaha untuk meneroka strategi kerjasama yang berupaya meningkatkan pertumbuhan pendapatan dengan menggiatkan semula industri pelancongan dan perdagangan di Malaysia secara konsisten dengan menyokong kerjasama dalam bentuk gelembung perjalanan dalam kalangan negara anggota.

“MAC juga komited untuk kekal relevan melalui peningkatan penglibatan, advokasi dan penjenamaan; mewujudkan kesedaran; membina rangkaian baharu; serta mencipta kaedah baharu untuk memacu lebih jauh agar acara perniagaan boleh menjadi satu bentuk ekonomi baharu bagi jenama WTCA,” katanya.

Oleh itu, jawatan ini juga adalah suatu kemenangan bagi kejayaan rakyat Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19 serta keyakinan penuh seluruh negara anggota terhadap kemampuan Anak Malaysia. – SM

(Visited 178 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button